PETALING JAYA – Kementerian Pendidikan (KPM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan kes buli melibatkan seorang pelajar sehingga dia bertindak melarikan diri dari sekolah baru-baru ini.
KPM dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya mengambil perhatian dakwaan kes buli di sekolah seperti yang dilaporkan oleh media agar isu itu dapat diselesaikan segera.
“Surat Pekeliling Ikhtisas (SPI) Bilangan 12 dan 13 Tahun 2023, bertarikh 3 November 2023 perlu dijadikan panduan bagi menangani gejala buli dan gangguan seksual di semua institusi pendidikan KPM,” kata kenyataan itu.
Dalam kenyataan sama, KPM memaklumkan pihaknya menyediakan empat saluran utama bagi membolehkan murid, ibu bapa dan masyarakat membuat aduan mengenai kes buli serta gangguan seksual.
“Aduan boleh dibuat menerusi talian khas Aduan Buli, aplikasi WhatsApp, e-mel [email protected] dan aduan buli dalam Sistem Pengurusan Aduan Awam (SISPAA),” terang kenyataan itu lagi.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan seorang pelajar, Muhammad Danial Akmal Zulkhairi, 14 yang hilang dari kawasan sebuah sekolah berasrama penuh pada Khamis lalu ditemukan dalam keadaan lemah di Masjid Saidina Othman, Bandar Tun Razak malam semalam.
Menurut ibu mangsa, dia mendakwa anaknya bertindak melarikan diri dari sekolah berikutan dibuli pelajar lain. – KOSMO! ONLINE