IPOH – UDA Holdings Berhad (UDA) menyasarkan hasil jualan sebanyak RM2.2 juta dengan penglibatan 150 usahawan pada Karnival UDA 2023 di negeri ini yang berlangsung bermula semalam sehingga esok.
Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif UDA, Datuk Mohd. Salem Kailany berkata, Karnival UDA di sini agak berbeza dengan negeri-negeri lain kerana ia melibatkan usahawan-usahawan asnaf di bawah Sekretariat Usahawan Negeri Perak (STeP) dan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk).
“Saya berharap supaya penduduk Perak terutamanya ambil peluang untuk memeriahkan majlis pada minggu ini dan pada masa yang sama dapat membantu usahawan untuk meningkatkan jualan mereka.
“Melihat kepada penyertaan dan jumlah jualan yang menggalakkan, kami yakin karnival di Angsana Ipoh Mall selama tiga hari ini mampu mencapai sasaran nilai jualan RM2.2 juta dengan penyertaan 150 usahawan merangkumi usahawan makanan, aksesori, kesihatan, perkhidmatan dan lain-lain lagi,” katanya kepada pemberita pada Majlis Perasmian Karnival UDA 2023 @ Perak di sini hari ini.
Menurutnya, karnival itu menampilkan dua acara utama iaitu Program Usahawan USHANiaga dan Kempen Hartanah UDA Ria yang dianjurkan di tapak parkir, Angsana Ipoh Mall di sini.
Ujarnya, UDA komited menggalakkan pemilikan hartanah khususnya di kawasan bandar dengan menawarkan pelbagai produk hartanah kediaman serta komersial di seluruh negara.
“Kempen Hartanah UDA Ria yang juga sebahagian daripada karnival ini mencatatkan jumlah jualan keseluruhan RM30.8 juta. Kami berharap karnival ini dapat mendekatkan lagi UDA dengan masyarakat setempat terutamanya komuniti di wilayah perniagaan UDA.
“Semoga ikhtiar ini dapat memberikan impak positif kepada aktiviti keusahawanan, sekali gus meningkatkan sosioekonomi masyarakat tempatan,” katanya.
Antara produk hartanah yang diketengahkan di Karnival UDA 2023 @ Perak adalah AmaaneeResidences dan Crescent Dew di Pulau Pinang, 38 Bangsar Residensi dan Legasi Kampong Bharu di Kuala Lumpur; Dedaun Residensi (Selangor); UDA Heights, Pisonia Ville, Neuvo Centrodan Areca Terrace (Johor), Pelindung Heights (Pahang) dan Sarai di Terengganu serta Neu Pendington di Sarawak.
Pelanggan yang membeli hartanah UDA sepanjang Kempen Hartanah UDA Ria berlangsung berpeluang menikmati pelbagai hadiah lumayan berjumlah hampir RM200,000 berupa pakej percutian, kad Touch ‘n Go, baucar minyak, penginapan di AnCasa Hotels & Resorts serta dua hadiah utama iaitu kereta Perodua Ativa tertakluk kepada terma dan syarat.
Layari uda.com.my/karnival-uda atau Instagram @uda_official atau laman Facebook UDA Holdings. – KOSMO! ONLINE