fbpx

Konflik Palestin-Israel: Agensi PBB bantu rakyat Gaza di ambang keruntuhan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
AGENSI UNRWA mengedarkan bantuan kepada penduduk Palestin walaupun mempunyai kekangan tenaga kerja. - Foto AFP

BANDAR GAZA – Agensi bantuan Palestin Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) berada di ambang keruntuhan dan hampir tidak dapat membantu orang awam di Semenanjung Gaza, kata ketuanya, Philippe Lazzarini dalam satu amaran tentang situasi genting tersebut, lapor portal berita metro.co.uk kelmarin.

Lazzarini berkata, lebih 130 kakitangan Agensi Bantuan dan Kerja PBB bagi Pelarian Palestin (UNRWA) itu terbunuh di Gaza dan kira-kira 7,000 lagi mengalami masalah kekurangan makanan, air dan tempat tinggal.

Menurutnya, kakitangan UNRWA kini tiada tempat tinggal selepas dipaksa keluar dari rumah masing-masing di tengah-tengah serangan tentara Israel.

Dalam surat terdesak kepada pemimpin PBB untuk merayu gencatan senjata segera di Gaza, beliau menulis: “Kami ibarat te­lur di hujung tanduk. Jika UNRWA runtuh, bantuan kemanusiaan di Gaza juga akan runtuh.”

Kira-kira 10,000 orang be­kerja dengan UNRWA di Gaza dengan ramai daripada mereka terdiri daripada rakyat Palestin. Kakitangan UNRWA bertanggungjawab untuk menguruskan sekolah, klinik kesihatan dan perkhidmatan bantuan lain milik agensi berkenaan.

Lazzarini berkata, beliau menjangkakan lebih ramai kakitangannya akan terbunuh sekiranya serangan tentera Israel diteruskan.

Menganggap situasi semasa di Gaza sebagai ‘detik paling hitam dalam sejarah 75 tahun UNRWA,’ beliau memberi amaran bahawa keupayaan agensi itu untuk terus bekerja kini terjejas teruk manakala akibat yang mengerikan menanti orang awam Palestin.

“Ketika ini, hampir 1.2 juta orang awam berlindung di pre­mis-premis UNRWA disebabkan oleh serangan tentera Israel.

“Kakitangan kami masih mengendalikan sebilangan pusat ke­si­hatan, menguruskan tempat per­lindungan dan menyokong orang yang trauma. Ada yang tiba membawa anak mereka yang sudah mati.

“Kami masih mengedarkan makanan, walaupun koridor dan halaman premis kami terlalu sesak untuk dilalui.

“Kakitangan kami membawa anak mereka ke tempat kerja supaya mereka tahu mereka selamat atau mereka boleh mati bersama-sama,” tulis Lazzarini dalam suratnya.

Lazzarini mengulangi gesaan supaya Perhimpunan Agung PBB menguatkuasakan undang-undang antarabangsa dan melin­dungi prospek untuk penyelesaian politik di Gaza.

Beliau juga mengulangi amaran sebelum ini bahawa pelarian Palestin mungkin terpaksa pergi ke Mesir dan kawasan lebih jauh sekali gus menamatkan prospek untuk penyelesaian politik kepada konflik Israel-Palestin.

Sebelum ini, UNRWA ber­de­pan kritikan berhubung dakwaan bahawa terdapat kakitangannya dikaitkan dengan Hamas selain bersimpati dengan keganasan terhadap orang awam Israel.

Jerman yang merupakan penderma UNRWA kedua terbesar selepas Amerika Syarikat (AS) baru-baru ini membekukan pembiayaan kepada agensi itu berikutan penemuan bahan-bahan pengajaran yang bersifat anti-Semitik di sekolah-sekolah UNRWA.

Kementerian Pembangunan Jerman dilaporkan menunjukkan bukti bahawa guru-guru UNRWA dan kakitangan lain meraikan kejadian pembunuhan beramai-ramai yang dilakukan Hamas pada 7 Oktober lalu di Israel.

Parlimen Eropah telah mengeluarkan resolusi menekankan bahawa kandungan anti-Semitik dalam buku teks Palestin masih belum dipadamkan selepas terdapat gesaan untuk berbuat demikian.

Namun, UNRWA mengkritik resolusi Eropah dan berkata, pihaknya mempunyai rangka kerja dan disiplin ketat untuk kakitangannya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI