fbpx

Piala Malaysia: VAR mampu selamatkan aksi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
IVAN MAMUT (dua dari kanan) meledak gol sagu hati TFC ketika mereka tewas pada aksi final Piala Malaysia menentang JDT kelmarin.

SISTEM Video Bantuan Pengadil (VAR) mungkin boleh menjadi penyelamat pada musim depan selepas beberapa insiden kontroversi melanda aksi final Piala Malaysia melibatkan Terengganu FC (TFC) dan Johor Darul Ta’zim (JDT) kelmarin.

Pandangan tersebut disuarakan oleh pengendali TFC, Tomislav Steinbruckner percaya penggunaan sistem VAR adalah satu langkah yang baik selepas melihat anak-anak buahnya tewas 1-3 kepada skuad Harimau Selatan.

“Mungkin satu idea yang bernas untuk menggunakan sistem VAR kerana tiga penalti telah diberikan pada perlawanan kali ini dan pengadil boleh menyemaknya semula.

“Kita juga lihat ada beberapa terjahan yang dilakukan pada aksi final kali ini dan tidak keterlaluan untuk katakan ada beberapa lagi kad kuning sepatutnya diberikan.

“Namun, tidak wajar untuk saya mengulas lanjut mengenai pengadil kerana perlawanan sudah pun berakhir dan tahniah kepada JDT kerana telah menjulang trofi kali ini,” katanya selepas tamat perlawanan.

Pada perlawanan di Stadium Nasional Bukit Jalil itu, pengadil perlawanan, S. Logeswaran menghadiahkan dua sepakan penalti kepada JDT dan satu sepakan penalti kepada Sang Penyu.

Selain itu, Logeswaran turut melayangkan lima kad kuning kepada pemain Harimau Selatan dan tiga layangan kad kepada TFC sepanjang 90 minit perlawanan.

Mengulas lanjut, Steinbruckner juga enggan menyalahkan keadaan padang SNBJ yang tidak sempurna kerana kedua-dua pasukan beraksi atas padang sama sebaliknya lebih baik fokus pada masa depan.

“Meskipun padang tidak berada dalam keadaan yang sempurna tetapi ia bukanlah alasan kerana kedua-dua pasukan bermain di atas padang yang sama.

“Padang juga tidaklah seteruk seperti yang digambarkan beberapa hari lalu. Tetapi, saya berpuas hati dengan pemain dengan cara kami bermain dan saya berbangga dengan mereka.

“Apa yang pasti, saya harap pemain tidak terlalu kecewa kerana kita masih perlu mengharungi satu lagi perlawanan penting saingan Piala AFC di laman sendiri pada Rabu depan,” katanya.

Kekalahan kelmarin menyaksikan harapan TFC untuk menamatkan kemarau trofi Piala Malaysia sejak kali terakhir menang edisi 2001 tidak kesampaian.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI