fbpx

Lembaga berambut panjang muncul ketika memancing

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan. ILUSTRASI SHAH HASAN

KISAH mistik mengenai kaki pancing diganggu lembaga mistik kerap kali diceritakan sama ada dari mulut ke mulut, mahupun disampaikan sendiri oleh mereka yang mengalami kejadian itu.

Bagi yang tidak pernah berdepan situasi tersebut, mungkin menganggap kejadian seram itu sebagai sekadar sebuah cerita.

Namun, bagi Alif (bukan nama sebenar), dia yang merupakan seorang kaki pancing tegar menganggap perkara tersebut sebagai kisah benar memandangkan dia sendiri pernah mengalami kejadian tersebut.

Membuka cerita, Alif yang merupakan seorang penjawat awam kerap bertandang ke beberapa ‘port’ memancing di sekitar Lembah Klang bagi melunaskan hobinya itu.

“Disebabkan saya bertugas sebagai penguat kuasa sebuah agensi, masa kerja saya tidak menentu dan jadual cuti rehat saya juga tidak sama dengan rakan-rakan yang lain.

“Jadi, jika ada kelapangan, saya akan pergi memancing di ‘port’ tertentu sekitar Lembah Klang sama ada bersama rakan ataupun berseorangan,” katanya.

Bercerita lanjut mengenai kejadian seram yang dialaminya, Alif memberitahu, kejadian tersebut berlaku ketika dia sedang memancing bersama seorang rakannya di sebuah tasik berhampiran Sungai Besi, Kuala Lumpur.

Jelasnya, jika mengikut perancangan asal, dia telah merancang untuk memancing di tasik tersebut bersama empat lagi rakannya pada waktu malam.

Namun katanya, tiga daripada rakannya tidak dapat menyertai mereka pada saat-saat akhir atas sebab-sebab tertentu menyebabkan hanya dia dan seorang lagi rakannya yang berkelapangan untuk memancing pada hari tersebut.

“Disebabkan semua persiapan sudah dibuat termasuk umpan, jadi saya dan seorang lagi rakan membuat keputusan untuk tetap pergi memancing pada malam berkenaan.

“Ketika itu, kami tiba di lokasi memancing tersebut kira-kira pukul 10 malam dan seperti biasa, kami meletakkan motosikal di tepi jalan sebelum berjalan kaki menuju ke lokasi ‘port’ memancing yang terletak kira-kira 200 meter dari situ.

“Selepas segala persiapan dibuat, kami mula melabuhkan umpan kira-kira pukul 10.30 malam dalam usaha menaikkan pelbagai spesies ikan.

“Seperti yang dijangka, dalam tempoh 30 minit pertama, kami sudah berjaya menaikkan beberapa ekor ikan seperti lampam dan patin yang sememangnya banyak terdapat di tasik berkenaan

“Tambahan pula, pada malam tersebut tiada kumpulan pemancing lain di situ menyebabkan kami mempunyai peluang yang tinggi untuk mendapatkan hasil tangkapan yang banyak,” katanya.

Bagaimanapun kata Alif, selepas sejam memancing, mereka mula berasa hairan kerana tiada lagi tanda-tanda umpan dijamah ikan.

Keadaan tersebut katanya, berlarutan sehingga pukul 1 pagi menyebabkan mereka berasa hairan dengan keadaan yang berlaku ketika itu.

“Biasanya, ‘port’ tersebut memang banyak ikan. Setidak-tidaknya, pasti akan ada umpan dijamah ikan dalam tempoh 10 minit selepas umpan dicampak ke dalam tasik.

“Tetapi pada malam tersebut, keadaan berlaku sebaliknya menyebabkan kami mengeluarkan kata-kata tidak sepatutnya.

“Ketika itulah kejadian seram tersebut berlaku apabila kami mula terhidu bau busuk seakan-akan bangkai haiwan,” ujarnya.

Jelas Alif, disebabkan berasa tidak sedap hati, dia dan rakannya cuba memberanikan diri untuk mencari punca bau busuk tersebut di sekitar lokasi mereka memancing.

Katanya lagi, ketika itulah dia melihat satu lembaga seakan-akan wanita berambut panjang berdiri di tepi sebatang pokok tidak jauh dari lokasi mereka berada.

“Waktu itu saya dapat melihat dengan jelas lembaga tersebut. Wajahnya tidak kelihatan kerana ditutupi rambut panjang dan pakaian yang dipakainya seakan-akan kain putih yang lusuh dan kotor.

“Walaupun lembaga berkenaan tidak mengilai atau pun menerkam kami, ia sudah cukup untuk membuatkan kami berdua kecut perut.

“Tanpa berfkir panjang, kami terus mengambil peralatan memancing kami dan terus berlari meninggalkan lokasi tersebut,” katanya.

Tambah Alif, keesokan harinya dia dan rakannya itu terpaksa mengambil cuti kerana masih trauma dengan apa yang berlaku.

Disebabkan kejadian itu juga, dia tidak lagi pergi memancing pada waktu malam bagi mengelak melalui kejadian sama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI