KUALA LUMPUR – Malaysia merasa kesal dengan pendirian Amerika Syarikat (AS) yang dilihat masih mempertahankan pembunuhan dan kezaliman yang dilakukan rejim Zionis ke atas penduduk Gaza, Palestin.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, negara barat itu seolah-olah langsung tidak mempedulikan isu-isu kemanusiaan selain terus membiarkan wanita dan kanak-kanak menjadi mangsa kekejaman tentera Israel sehingga mengorbakan lebih 17,000 nyawa dalam tempoh 63 hari.
Katanya lagi, Malaysia turut membantah sikap AS yang menolak draf resolusi Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (UNSC) untuk menuntut gencatan senjata kemanusiaan segera antara Israel dan Palestin.
“Soal Majlis Keselamatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), pembunuhan keganasan harian terhadap anak-anak kecil dan wanita, satu dunia menemplak serta membantah namun masih saya kesal dan bantah sikap Amerika Syarikat yang tidak mempedulikan hak kemanusiaan.
“Sekarang kalau kita nak menilai Amerika Syarikat dari segi demokrasi, hak asasi kemanusiaan nampaknya kita tangguh dahulu.
“Bagi mewakili rakyat Malaysia, kerajaan sekeras-kerasnya mengutuk dan protes terhadap keputusan AS menolak gencatan senjata,” katanya kepada pemberita selepas sesi walkabout di Program Setahun Bersama Kerajaan Malaysia Madani di pekarangan Stadium Nasional Bukit Jalil, di sini hari ini.
Terdahulu, media tempatan melaporkan AS memveto draf resolusi Majlis Keselamatan PBB untuk menggesa gencatan senjata segera dalam perang antara Israel dan Hamas di Gaza.
Washington mematahkan desakan yang semakin meningkat untuk gencatan senjata segera yang diketuai oleh Ketua PBB Antonio Guterres dan negara-negara Arab.
Selain itu, AS juha menawarkan pindaan besar kepada draf itu, termasuk mengutuk serangan Hamas yang mana Israel mendakwa ia membunuh 1,200 orang dan 240 orang dijadikan tebusan.
Dalam pada itu, tambah Anwar, semua pihak mesti memain peranan menghentikan pembunuhan terhadap orang awam yang tidak bersalah terutama wanita dan kanak-kanak.
Tegas Anwar, tiada apa-apa sebab sama sekali untuk mana-mana pihak menafikan perkara hak kemanusiaan tersebut. – KOSMO! ONLINE