SEBERANG PERAI – Seorang pekerja penyelenggaraan yang juga vendor berdepan detik mencemaskan selepas terjatuh ke dalam kawah zink bersuhu tinggi di sebuah kilang pembekal peralatan perpaipan di Nibong Tebal, pagi tadi.
Difahamkan, ketika kejadian, kawah zink itu sedang menggelegak sehingga mencecah 450 darjah Celsius.
Menurut jurucakap bomba negeri, akibat insiden tersebut mangsa yang juga seorang lelaki warga tempatan berusia dalam lingkungan 40 tahun dilaporkan melecur sebanyak 30 peratus pada bahagian kaki.
Terdahulu katanya, sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Nibong Tebal telah menerima panggilan berhubung kejadian berlaku pada pukul 10.58 pagi dan keanggotaan turut melibatkan kerjasama BBP Sungai Bakap.
“Ketika bomba sampai, mangsa bagaimanapun terlebih dahulu berjaya dibawa keluar oleh orang awam di situ. Mangsa dikejarkan ke Hospital Sungai Bakap (HKB) dengan ambulans Kementerian Kesihatan (KKM) untuk mendapatkan rawatan lanjut,” katanya di sini, sebentar tadi. – KOSMO! ONLINE