KLANG – Polis Selangor hari ini mendedahkan identiti dan lakaran wanita yang disimen dalam kolah mandi sebuah rumah di Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Hussein Omar Khan berkata, mangsa dikenalpasti sebagai warganegara India berusia lingkungan 30-an.
Katanya, wanita yang berketinggian 160 sentimeter (cm) itu merupakan teman wanita suspek yang menyewa rumah berkenaan dan mereka tinggal bersama.
“Polis sedang memohon bantuan Kedutaan India bagi mendapatkan maklumat mengenai mangsa dan menghubungi pihak keluarga,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Muka depan Kosmo! Rabu lalu melaporkan mayat seorang wanita yang ditemui ditanam dalam simen di kolah mandi di sebuah rumah di Kampung Pendamar Fasa Satu, Pandamaran, di sini Ahad lalu, dipercayai telah dibunuh lebih setahun lalu.
Penemuan jasad mangsa yang belum dikenal pasti identiti itu turut mengejutkan penduduk sekitar kerana mereka tidak menyangka berjiran dengan mayat tersebut selepas mengetahui kejadian itu pada pukul 9.30 malam.
Katanya, seorang daripada dua lelaki warga asing yang diburu polis dipercayai telah pulang ke negara asalnya sejak September lalu manakala maklumat mengenai seorang lagi lelaki warga India telah diketahui selain waran tangkap akan diperolehi.
Tambah Hussein, pihaknya sudah menahan tiga suspek termasuk seorang lelaki warga asing berusia 53 tahun yang direman selama tujuh hari bagi membantu siasatan.
“Kita akan meminta bantuan kedutaan India dan polis India bagi mengesan sekali gus menahan suspek berkenaan. Kita setakat ini merekodkan keterangan 10 individu dan polis menunggu untuk melengkapkan siasatan kes berkenaan. ,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE