PETALING JAYA- Kerajaan menamatkan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) di daerah Kuching, Sarawak hari ini.
Menteri Kanan Keselamatan, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan bahawa baki kes aktif Covid-19 di daerah itu menunjukkan trend penurunan dan terkawal.
“Atas nasihat KKM, sidang khas hari ini bersetuju untuk menamatkan PKPB di Daerah Kuching, Sarawak pada 27 November (hari ini) seperti mana yang dijadualkan.” katanya pada sidang akhbar harian di Kementerian Pertahanan, Kuala Lumpur hari ini.
Kerajaan sebelum ini telah menguatkuasakan PKPB di Kuching bermula 9 November lepas yang kemudiannya dilanjutkan lagi sehingga 27 November.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri memaklumkan, kerajaan melaksanakan PKPB di Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor setelah KKM melaksanakan sebanyak 672 ujian saringan dan 56 kes positif Covid-19 telah direkodkan.
“Berdasarkan penilaian risiko dan atas nasihat KKM, Sidang khas hari ini bersetuju untuk melaksanakan PKPB di Tongkang Pecah, Batu Pahat, Johor bermula 29 November sehingga 13 Disember.
“PKPB ini akan melibatkan seramai 16,300 penduduk di kawasan Bandar Putera Indah, Lorong 7 hingga 10, Batu 7 dan Kampung Mohd. Nor,” jelasnya.
Sementara itu, Majlis Keselamatan Negara bersetuju melanjutkan operasi pasar harian di kawasan PKPB bermula pukul 10 pagi sehingga pukul 4 petang dengan penglibatan dan pengawasan anggota Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) serta mengikut prosedur operasi standard yang ditetapkan.
Pelanjutan akan berkuat kuasa mulai esok 28 November. -K! ONLINE