fbpx

Kawal emosi, jangan terlalu ‘berani’ di atas jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

Memandu kenderaan di negara ini perlu banyak kesabaran. Jika cepat panas baran dan mudah ajak orang bertumbuk, lebih elok naik bas, tren atau e-hailing.

Pemandu kita banyak ‘ragam’. Salah satu tindakan menyakitkan hati apabila terserempak dengan ‘geng-geng’ yang memberi lampu isyarat untuk membelok atau menukar lorong menggunakan niat.

Potong barisan juga merupakan tindakan yang sering menguji kesabaran pengguna lain terutama ketika menempuh kesesakan.

Itu belum lagi berdepan penunggang motosikal terutama rider yang menyelit kiri kanan dan melanggar lampu isyarat sehingga merempuh kenderaan lain.

Bagaimanapun, semua kesalahan yang dilakukan itu bukan ‘tiket’ percuma untuk kita menunjal kepala, memaki hamun dan menghimpit kenderaan mereka.

Ia juga tidak menghalalkan tindakan kita untuk memukul dan membelasah mereka sampai lunyai, lebih malang mengakibatkan kematian.

Kadangkala kesalahan yang dilakukan pemandu lain itu kecil dan tidak disengajakan, namun sikap panas baran seperti samseng jalanan menyebabkan kes kecil menjadi besar.

Daripada tiada sesiapa yang mati akibat kemalangan, hilang pula satu nyawa kerana dibelasah.

Banyak kejadian boleh dijadikan pengajaran. Antaranya kes terbaharu seorang bekas pekerja teknologi maklumat dijel 16 tahun kerana menyebabkan kematian pengurus bank, Syed Muhammad Danial Syed Syakir pada 10 Ogos 2019.

Ia berpunca daripada kemalangan kecil antara mangsa dan tertuduh selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan sebelum tercetus pergaduhan sehingga mengakibatkan kematian Syed Danial.

Ekoran kematian itu, isterinya trauma sehingga menjejaskan kesihatan mental. Malah anak mangsa juga tertanya-tanya di mana ayahnya.

Ekoran keputusan itu, isteri dan keluarga mangsa meminta orang ramai menjadikan apa yang berlaku ke atas suaminya sebagai satu pengajaran dan tiada lagi insiden pembuli jalanan yang boleh meragut nyawa.

Hakikatnya, besar mana sekali pun kesalahan yang dilakukan pemandu lain terhadap kita, jangan bertindak di luar batasan.

Jika tidak puas hati, rakam kesalahan lalu lintas yang dilakukan mereka dan lapor kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.

Seandai diancam pembuli jalanan, usah hiraukan. Tidak perlu bunyikan hon atau tinggikan lampu.

Tidak perlu juga melakukan serangan balas secara fizikal yang akhirnya akan menyesal di kemudian hari.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI