PETALING JAYA – “Saya naik lagi dua tiga langkah, saya pusing belakang panggil nama ‘Zayn’, terus tak ada. Senyap macam itu je, bunyi tapak kasut ke suara langsung tak ada”.
Itulah antara rakaman suara didakwa milik ibu kepada Zayn Rayyan Abdul Matiin, 6, yang maut dibunuh setelah badannya dijumpai di sebatang anak sungai kira-kira 200 meter dari Apartment Idaman, kelmarin
Dalam rakaman suara yang tular di aplikasi TikTok sejak semalam, Ismanira Abdul Manaf, 28, didakwa menceritakan semula detik dari awal kejadian sebelum anaknya ‘lesap’ dalam sekelip mata.
Katanya, sebelum mengambil kanak-kanak autistik itu dari sekolah, dia sempat singgah ke sebuah kedai bagi membeli barang-barang dapur.
“Sampai-sampai dekat rumah, dia ajak saya main taman. Taman depan rumah ni je, dia mengamuk nak main taman. Dia tak nak naik rumah dulu.
“Jadi saya bawalah dia sekejap main taman dalam 10 minit macam itu, lepas itu saya ajak dia balik rumah. Nak naik tangga rumah tu, dia macam nak tak nak ikut sebab dia mengamuk dan meragam.
“Tangan saya kiri kanan pegang barang penuh. Saya tak pegang dia, tapi memang dia betul-betul ada belakang saya waktu itu,” katanya.
Cerita Ismanira lagi, dia memanggil nama Zayn sebelum memusing belakang setelah menaiki dua ke tiga langkah namun terkejut tidak melihat sebarang kelibat anaknya itu.
“Saya pusing belakang panggil nama dia ‘Zayn’ terus tak ada. Senyap macam itu je. Memang tak perasan langsung bila dia lari, tak ada bunyi suara langsung, memang tak ada bunyi tapak kasut ke apa.
“Dia terus lari macam itu je. Lepas itu saya memang mencari belakang-belakang rumah, belakang semak semua memang tak ada. Memang pelik sebab sekelip mata je laju berdesup je memang terkejut,” ujarnya.
Terdahulu, pada Selasa, Ismanira memaklumkan kehilangan anaknya kira-kira pukul 12 tengah hari menerusi akaun Facebook Izz Manaf.
Kanak-kanak tersebut kali terakhir ditemui adalah ketika memasuki kawasan belukar berhampiran Apartment Idaman, Damansara Damai, di sini.
Semalam, Ketua Polis Selangor Datuk Hussein Omar Khan ketika dihubungi mengesahkan punca kematian kanak-kanak enam tahun itu selepas mendapati terdapat unsur jenayah pada tubuh mangsa.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Datuk Seri Mohd. Shuhaily Mohd. Zain berkata, misi mengesan suspek kini akan dibantu pasukan JSJ Bukit Aman, Ibu Pejabat Kontinjen Selangor (IPK) dan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Petaling Jaya.
Shuhaily turut memaklumkan bahawa terdapat kesan ‘defensive wound’ dipercayai mangsa bergelut dengan suspek. – KOSMO! ONLINE.