DI sebalik kesibukan Tengku Rosmita Tengku Jusoh atau Kak Ross menjawat jawatan terbaharunya sebagai perunding imej anak-anak kapal AirAsia serantau, minatnya dalam memasak tetap menjadi keutamaan.
Dedah Kak Ross, jika mempunyai kelapangan, dia pasti ke dapur untuk memasak pelbagai juadah kegemaran suami dan anak lelakinya yang kini berumur sembilan tahun.
“Walaupun sekarang ini dah ada pembantu rumah, tetapi kalau ada masa terluang dan teringin makan sesuatu menu, saya pasti akan masuk ke dapur.
“Macam saya sendiri, saya suka dan gemar buat ketupat dakap iaitu satu sajian popular di Kelantan dan Thailand.
“Resipi ketupat dakap ini mudah saja dan memang susah nak jumpa orang jual di luar. Bila selalu masak, saya pun kongsi di laman sosial dan ada pengikut yang nak beli serta sanggup datang ke rumah untuk belajar cara membuatnya,” katanya.
Ujarnya, menu tradisional itu turut menjadi kegemaran suami dan anak serta gemar dikongsi bersama teman-teman di pejabat serta dijamu kepada tetamu yang hadir ke rumah.
Satu lagi hal yang ramai tidak tahu mengenai Kak Ross ialah dia akan memperuntukkan selama sejam hanya untuk mendandan rambutnya.
“Ya saya memang ambil masa sejam untuk siapkan rambut sebelum keluar bekerja. Kalau zaman-zaman masih ‘fly’ di awan biru, saya akan bangun tiga ke empat jam awal untuk solek dan buat rambut.
“Penjagaannya juga sedikit rumit dan memerlukan penilitian khusus supaya rambut tidak mudah rosak,” katanya.
Ditanya asas penting dalam dandanan yang diaplikasikan kepada anak kapal, Kak Ross sebagai konsultan kecantikan membahagikan elemen dandanan kepada beberapa bahagian utama seperti kerapian rambut, mekap, uniform, aksesori, kulit dan gigi.
“Mekap juga memainkan peranan penting lebih-lebih lagi kepada barisan pramugari kami. Jadi elemen solekan itu penting walaupun bekerja dalam keadaan yang kelam kabut serta terkejar-kejar.
“Bagi aksesori pula, jangan sesekali kosong. Sebagai contoh, barang kemas yang ringkas perlu dipakai pramugari dan jam tangan.
“Akhir sekali saya juga tekankan penjagaan kulit dan gigi kru kabin. Masalah seperti kulit berminyak, berjerawat, kering dan kusam mesti dititikberatkan selain senyuman dan gigi putih berseri,” katanya.