PETALING JAYA – Penyanyi Iman Troye mengakui menggeletar dan berasa gerun untuk memandu kereta berikutan masih trauma mengingati pengalaman kemalangan jalan raya pada awal November lalu.
Kata Iman, dia hanya memberanikan diri memegang stereng sejak beberapa hari lalu bagi memudahkan urusan kerja.
“Sejujurnya saya masih trauma walaupun kemalangan tersebut telah sebulan berlalu, malah kereta merah jambu kesayangan saya juga belum keluar dari bengkel.
“Memang saya menggeletar selepas sebulan tak memandu, tapi kena juga atasi ketakutan sebab tiada orang boleh bawa saya ke hulu ke hilir selepas masing-masing sibuk bekerja.
“Awal-awal selepas kemalangan memang perlukan kawan duduk tepi sebab saya mudah terkejut, tapi sekarang dah makin okey, lebam pun dah hilang,” katanya selepas pelancaran program PTTI Pecutan Akhir SPM NTV7, di Sri Pentas, semalam.
Dalam kejadian kemalangan bulan lalu, Iman atau Siti Nur Iman Alyssa Sahabudin, 21, kereta yang dipandu Iman tiba-tiba hilang kawalan namun tidak mendatangkan kecederaan serius, namun lebam, kaki bengkak serta telinga berdesing selama beberapa hari.
Melihat keadaan kenderaannya yang masih dalam proses pemulihan, ramai menyarankan agar penyanyi Teman itu menjual sahaja kereta yang dipanggilnya Baby Noah tersebut. Iman bagaimanapun enggan berbuta demikian disebabkan nilai sentimental.
“Kepala belah kanan saya terhentak ke kanan tingkap sebelum ‘airbag’ keluar dan enjin pula berasap. Alhamdulillah kecederaan saya tak serius, telinga pun sudah pulih.
“Memang ada yang sarankan saya lepaskan saja kereta itu, cuma banyak kenangan sebab itu kenderaan pertama saya yang menyimpan 1001 memori.
“Sepanjang dua tahun itulah yang bawa saya mencari rezeki termasuk ulang alik jalani latihan serta bawa baju termasuk ketika Anugerah Juara Lagu (AJL) Februari lalu,” ujarnya.
Sementara itu, mengenai pembabitan dalam program Media Prima Berhad (MPB) bersama PTTI iaitu pusat peningkatan akademik dan pakar untuk membantu calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2023, Iman dipertanggungjawabkan sebagai duta.
Menerusi program berkenaan, Iman bersama rakan seangkatan, penyanyi MK K-Clique akan memberi pengalaman interaktif kepada pelajar mengenai persediaan akhir menjelang SPM. Program 16 episod siaran ntv7 tersebut disiarkan setiap Sabtu dan Ahad bermula 9 Disember ini, pukul 10 pagi. – KOSMO! ONLINE