GUA MUSANG – Lebih 10,000 penduduk di 30 lokasi kawasan rendah di daerah ini dinasihatkan agar membuat persiapan awal bagi menghadapi bencana banjir.
Ketua Polis Daerah Gua Musang, Superintendan Mohd. Taufik Maidin berkata, semua penduduk perlu bersiap sedia menjaga keselamatan nyawa dan harta benda sekiranya penempatan mereka dilanda banjir.
Katanya, antara lokasi yang mudah dinaiki air di daerah ini ialah di Kampung Kundur, Kampung Batu Papan, Kampung Batu Enam, Kampung Bertam Lama, Kerinting, Sungai Terah, Kampung Limau Kasturi, Bandar Lama, Kuala Sungai, Pasir Linggi, Pos Pulat dan Kampung Aring 5.
“Penduduk di kawasan rendah dan tebing sungai diminta berwaspada dengan kemungkinan banjir akan melanda daerah ini jika keadaan hujan lebat berterusan.
“Terdapat jalan ke Kampung Pasir Linggi di sini sudah dinaiki air akibat hujan kelmarin, namun belum ada mangsa yang dipindahkan ke pusat pemindahan sementara,” katanya ketika ditemui Kosmo! hari ini.
Mohd. Taufik berkata, hujan berterusan sejak awal sejak beberapa hari lalu menyebabkan tiga sungai utama termasuk Sungai Galas, Nenggiri dan Lebir sudah berlaku peningkatan. -K! ONLINE