fbpx

‘Boikot dengan ilmu, bukan perasaan’ – Fuziah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fuziah

KUALA LUMPUR – Orang ramai disarankan untuk tidak mengikut emosi, sebaliknya membuat keputusan mengikut fakta sekiranya ingin memboikot barang-barang tertentu susulan konflik Palestin-Israel yang berlaku ketika ini.

Menurut Timbalan Menteri Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Fuziah Salleh, pihaknya tidak menghalang sebarang bentuk boikot kerana itu merupakan hak pengguna.

“KPDN merupakan kementerian yang unik, kami menjaga kedua-dua pengguna dan juga pemain industi.

“Sudah tentu, kami lihat ada kesan-kesan boikot, namun boikot merupakan hak dan tanggungjawab pengguna. Ini adalah pendirian KPDN setakat ini,” ulasnya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui di Majlis Pelancaran Kempen Beli Barangan Malaysia 2023 di Lulu Hypermatket & Department Store, Capsquare KL di sini hari ini.

Tambahnya, selain memboikot, orang ramai juga boleh menyalurkan sumbangan kepada badan-badan atau pertubuhan bukan kerajaan (NGO) untuk menunjukkan solidariti masing-masing.

“Apa yang penting, lakukan boikot dengan fakta yang betul dan bukan mengikut perasaan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Fuziah berkata, pihak KPDN sudah bersedia untuk berhadapan dengan masalah kekurangan barangan asas sekiranya berlaku banjir besar di beberapa buah negeri susulan hujan lebat yang berlaku ketika ini.

“KPDN telah mengeluarkan arahan untuk menambah stok barangan asas di negeri-negeri yang terlibat.

“Malah, negeri-negeri ini juga telah melantik pemborong-pemborong dan juga peruncit untuk menambah stok sedia ada sebanyak 30 peratus,” ujarnya.

Tambahnya, KPDN juga telah memberi lesen tambahan atau lesen khas kepada pemborong dan peruncit supaya mereka dapat menambah bekalan sebagai persiapan menempuh musim banjir.

“Buat masa ini, kita tidak menerima sebarang aduan. Namun, jika ada banjir besar, pihak KPDN sudah bersedia,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI