LONDON – Pelumba Sepanyol, Alex Marquez mendedahkan dia hampir menyertai pasukan Yamaha pada 2021, tetapi ada tangan ‘ghaib’ yang menghalang usaha tersebut.
Dalam dokumentari DAZN, Alex menjelaskan bahawa dia mendapat tawaran untuk kekal dalam saingan Moto2 dan selepas itu menyertai pasukan Petronas SRT pada 2021 selepas Fabio Quartararo menyertai pasukan kilang Yamaha.
Bekas Ketua Pasukan SRT dan RNF, Datuk Razlan Razali mengesahkan perkara tersebut dengan perjanjian telah dibuat, namun telah dihalang oleh beberapa individu dari Yamaha.
“Ketika itu adalah tahun kelima saya di Moto2 dan saya nekad untuk ke MotoGP. Pada pertengahan tahun di Brno, saya mendapat tawaran untuk kekal di Moto2 dan selepas itu ke Petronas Yamaha.
“Pada saat itu saya suka bersama jentera Yamaha kerana sesuai dengan gaya tunggangan saya, tetapi akhirnya perancangan tersebut tidak menjadi kenyataan” kata Alex.
Sementara itu, Razlan turut menjelaskan bahawa pihaknya telah mendapatkan Alex untuk kekal bersaing dalam Moto2 sebelum diangkat ke MotoGP bersama SRT.
“Saya memberitahu Yamaha bahawa saya mahu menandatangani Alex untuk Moto2 dan kemudian MotoGP. Namun, Yamaha berkata ‘tidak, tiada ahli keluarga Marquez boleh berada bersama Yamaha.’
“Saya tanya kenapa? Ini pasukan saya. Ia adalah kerana Marc Marquez dan apa yang berlaku pada 2015. Ia menjadi perkara peribadi buat mereka (Yamaha),” ujar Razlan. – AGENSI