MANCHESTER – Chelsea gagal meneruskan momentum kemenangan diraih ke atas Brighton sebelum ini apabila menanggung kekalahan keenam musim ini apabila tunduk 1-2 kepada Manchester United awal pagi semalam.
Dua gol jaringan Scott McTominay meleburkan impian pengendali Chelsea, Mauricio Pochettino untuk menyaksikan pasukannya kembali meraih prestasi terbaik dan melonjak ke kedudukan lebih baik biarpun Cole Palmer memberikan mereka gol sagu hati.
Secara jujurnya, Pochettino mengakui The Blues bergelut untuk memberikan saingan dan mencapai tahap intensiti yang dipamerkan oleh United pada perlawanan itu menyebabkan beliau akur dengan kekalahan tersebut.
“Saya agak kecewa apabila kami gagal memulakan aksi dengan baik. Mereka bermula dengan lebih baik, menunjukkan tenaga yang lebih berbanding kami. Ia menyebabkan kami bergelut dan saya tidak berkata apa-apa mengenainya.
“Kami mencipta banyak peluang untuk mendapat sesuatu yang lebih baik dalam perlawanan kali ini. Kami menyamakan kedudukan sebelum babak pertama berakhir dan ia suatu yang positif.
“Separuh masa kedua kami bermain baik, tetapi kami sepatutnya lebih klinikal. Bagaimanapun, kami bolos sekali lagi dan saya rasa kami kehilangan tenaga dan sikap agresif pada perlawanan itu,” jelasnya.
Pochettino mendedahkan, beraksi dengan 10 pemain ketika menewaskan Brighton sebelum ini memberi kesan kepada tahap kecergasan para pemainnya yang kebanyakannya diturunkan pada aksi menentang United ekoran pasukan itu berdepan masalah kecederaan. – AGENSI