KUALA TERENGGANU – Pertukaran pucuk pimpinan Badan Perhubungan UMNO Terengganu (BPUNT) yang kini diterajui Ketua UMNO Bahagian Hulu Terengganu, Datuk Rozi Mamat bakal memberi nafas baharu kepada parti tersebut.
Pelantikan Rozi menggantikan Datuk Seri Ahmad Said tepat pada masanya sesuai dengan iklim politik semasa usai Pilihan Raya Kecil (PRK) Parlimen Kemaman pada Sabtu minggu lalu.
Ketua UMNO Bahagian Kuala Nerus, Datuk Seri Ahmad Razif Abd. Rahman berkata, keputusan mesyuarat Majlis Kerja Tertinggi (MKT) UMNO tersebut bertepatan dengan mesej dibawa rakyat Terengganu menerusi PRK Parlimen Kemaman terbabit.
“Rakyat Terengganu mahu melihat perubahan drastik dalam kepimpinan BPUNT tidak lagi dilengahkan.
“Kita (UMNO) harus lebih berani untuk berhadapan dengan cabaran semasa yang semakin kritikal bagi memulihkan keyakinan dan kepercayaan rakyat terhadap parti,” katanya ketika dihubungi Kosmo! di sini hari ini.
Ahmad Razif yakin perubahan kepimpinan tersebut bakal menjadi titik tolak pembaharuan yang akan menyegarkan semula BPUNT.
Apapun, beliau menghargai sumbangan dicurahkan Ahmad sewaktu memimpin BPUNT sebelum ini.
Ketua UMNO Bahagian Besut, Datuk Muhammad Pehimi Yusoff pula menyifatkan pelantikan Rozi mewakili generasi muda Terengganu yang sesuai dengan aliran politik semasa. – KOSMO! ONLINE