PUTRAJAYA – Kerajaan tidak melantik pihak ketiga atau mana-mana vendor untuk menguruskan Program Rekalibrasi Tenaga Kerja dan Program Rekalibrasi Pulang di bawah Pelan Rekalibrasi Pendatang Asing Tanpa Izin (PATI) yang dilaksanakan sejak 16 November lalu.
Kementerian Sumber Manusia (KSM) berkata, pihaknya memandang serius perkara itu dan akan menjalankan siasatan terperinci ke atas pihak yang mengambil kesempatan terhadap pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI bagi mengelakkan berlakunya manipulasi terhadap majikan atau PATI terlibat.
Menurutnya, sejak program itu bermula, pihaknya yang bertanggungjawab untuk meluluskan kuota kelayakan telah menerima 113 permohonan majikan melibatkan 17,292 permohonan kuota untuk menggajikan pekerja asing.
“Pemantauan dilakukan dari semasa ke semasa bagi memastikan pelaksanaan Pelan Rekalibrasi PATI tidak dieksploitasi oleh mana-mana pihak yang tidak bertanggungjawab,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
KSM berkata, tindakan undang-undang di bawah Seksyen 7, Akta Agensi Pekerjaan Swasta 1981 (Akta 246) akan dikenakan kepada pihak yang didapati bersalah dengan denda tidak melebihi RM200,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-duanya sekali.
Rekalibrasi PATI adalah kerjasama antara dua kementerian iaitu KSM melalui Jabatan Tenaga Kerja Semenanjung Malaysia (JTKSM) dan Kementerian Dalam Negeri (KDN) melalui Jabatan Imigresen Malaysia (JIM) bermula 16 Nov lepas. -K! ONLINE