BEIJING – Seorang pelajar genius di China yang pernah menjadi perhatian ramai kerana berjaya memasuki universiti pada usia 10 tahun kini menjalani kehidupan sebagai penganggur dan tinggal di apartmen yang dibayar oleh ibu bapanya, lapor laman berita Oddity Central semalam.
Zhang Xinyang, 28, mula belajar lebih 1,000 huruf bahasa China pada usia dua setengah tahun. Ketika berusia empat tahun, dia sudah memasuki sekolah rendah.
Dia meneruskan kecemerlangan di sekolah sehingga diterima masuk ke Universiti Teknologi dan Pendidikan Tianjin pada usia 10 tahun, menjadikannya pelajar universiti termuda di China.
Namun, ketika bergelar pelajar doktor falsafah (PhD) di Universiti Aeronautik dan Astronautik Beijing, Xinyang sekali lagi menjadi perhatian media tempatan apabila dia memberi kata dua kepada ibu bapanya, iaitu membelikannya sebuah apartmen jika mahu dia terus belajar.
“Ibu bapa mahu saya terus menetap di Beijing. Jika saya tiada rumah di situ saya akan menjadi sama seperti penduduk Beijing lain.
“Jika saya sama seperti orang lain, mengapa ibu dan bapa menyuruh saya mendapatkan PhD? Mereka perlu bertanggungjawab menyediakan persekitaran kehidupan yang selesa untuk saya,” katanya.
Meskipun sukar memenuhi permintaan Xinyang, ibu bapanya enggan dia berhenti belajar justeru, mereka menyewakan sebuah apartmen untuk didiami lelaki itu.
Kini, pada usia 28 tahun, Xinyang masih tinggal di apartmen tersebut tanpa mengeluarkan wang walau sesen, serta tidak bekerja dan hanya duduk di rumah.
Dia percaya bahawa kehidupan sederhana adalah ekspresi sebenar kebahagiaan serta turut berasa selesa bergantung hidup pada ibu bapanya.
“Mereka adalah punca keadaan ini. Apartmen yang sepatutnya mereka belikan itu mungkin berharga lebih 10 juta yuan (RM6.5 juta),” katanya. – AGENSI