fbpx

Bekas Pengarah Ekskutif DBKL bebas salah guna kedudukan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Syed Afendy Ali lepas dan bebas di Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas 8 pertuduhan salah guna kedudukan 7 tahun lalu.

KUALA LUMPUR – Bekas Pengarah Eksekutif (Pengurusan Projek) Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL), Datuk Seri Syed Afendy Ali Syed Abid Ali dilepas dan dibebaskan oleh Mahkamah Tinggi di sini hari ini atas lapan pertuduhan menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium kesemuanya bernilai hampir RM2 juta tujuh tahun lalu.

Hakim Collin Lawrence Sequerah membuat keputusan itu selepas membenarkan permohonan Syed Afendy Ali, 58, selaku perayu bagi mengetepikan hukuman penjara lapan bulan dan denda RM80,000 yang dikenakan terhadapnya di Mahkamah Sesyen pada 20 Mac 2018.

Dalam penghakiman ringkasnya, Collin berkata pihak pendakwaan gagal membuktikan intipati dalam Seksyen 165 Kanun Keseksaan bahawa perayu menerima harta untuk individu yang disebut dalam pertuduhan.

“Justeru mahkamah membenarkan rayuan perayu dan denda (RM80,000) dipulangkan,” katanya.

Sejurus selepas keputusan itu, Syed Afendi Ali dilihat menangis termasuk melakukan sujud syukur.

Dalam prosiding itu, Syed Afendy Ali diwakili peguam Hamidi Mohd. Noh manakala responden diwakili Timbalan Pendakwa Raya Norzilati Izahani Zainal@zainol.

Sementara itu Norzilati ketika ditemui selepas prosiding berkata, pihak pendakwaan akan memfailkan rayuan terhadap keputusan mahkamah Tinggi itu hari ini.

Bagi pertuduhan pertama hingga kelapan, Syed Afendy Ali, yang ketika itu Pengarah Jabatan Perancangan Ekonomi dan Penyelarasan Pembangunan (JPEPP) DBKL, didakwa menggunakan kedudukannya untuk mendapatkan lapan unit kondominium di Bandar Sri Permaisuri, Bandar Tun Razak.

Aset tersebut masing-masing bernilai RM249,990 daripada syarikat Danau Lumayan Sdn. Bhd. adalah untuk empat individu iaitu Minah Abdullah, Mazwan Amin Mohd. Noor, Syed Ashraf Ali Syed Afendy Ali, dan Rodziah Abd Samad, 56.

Tertuduh didakwa melakukan kesemua kesalahan itu di Pejabat Pengarah JPEPP DBKL, di Kuala Lumpur, di antara 6 September 2013 dan 16 Oktober 2014 mengikut Seksyen 165 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman penjara maksimum dua tahun atau dengan denda atau kedua-duanya. -K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI