fbpx

[VIDEO] Bekas pekerja IT sebabkan kematian Syed Danial dijel 16 tahun

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAKAMAN video yang tular menunjukkan seorang lelaki sedang memegang Syed Muhammad Danial (kanan) selepas insiden kemalangan di Lebuh Raya Utara-Selatan berhampiran Southville City pada 13 Ogos 2019.

SHAH ALAM – Seorang bekas pekerja teknologi maklumat (IT) yang menyebabkan kematian seorang pengurus bank, empat tahun lalu berbalas apabila dihukum penjara 16 tahun oleh Mahkamah Tinggi hari ini.

Hakim Julia Ibrahim memerintahkan hukuman itu dijalankan bermula dari tertuduh, Yew Wei Liang, 45, ditangkap pada 10 Ogos 2019 atas perbuatannya terhadap si mati, Syed Muhammad Danial Syed Syakir, 29.

Hukuman itu dijatuhi mengikut Seksyen 304 (a) Kanun Keseksaan (KK) yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 30 tahun dan dikenakan denda.

Kelmarin, Julia mensabitkan Wei Liang bersalah di bawah Seksyen 304 (a) KK dan bukan pertuduhan asal mengikut Seksyen 302 KK.

Mengikut pertuduhan asal, Wei Liang didakwa membunuh pegawai bank, Syed Muhammad Danial, 29, di Kilometer 293.6, Lebuh Raya Utara – Selatan pada pukul 1 tengah hari hingga 2 petang, 10 Ogos 2019.

Sabit kesalahan tertuduh boleh dihukum mati mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Julia dalam penghakimannya hari ini berkata, kejadian berlaku antara dua pihaknya ini yang didorong rasa amarah dan tidak puas hati serta sumbangan daripada penggunaan bahan tidak terlarang hanya mengundang akibat buruk.

“Saya harap pihak umum mengambil perhatian bahawa sikap tenang, mengawal emosi dan berfikir sejenak sebelum bertindak would go a long way dalam keadaan dunia semakin mencabar bagi elak kejadian sebegini berlaku.

“Kejadian ini adalah satu tragedi dengan impaknya memberikan kesan semua pihak terlibat termasuk keluarga tertuduh.

“Jadi, saya merasakan hukuman sesuai adalah penjara 16 tahun dari tarikh tangkap,” katanya.

Wei Liang.

Sebaik hukuman itu dijatuhkan, keluarga mangsa yang hadir menangis dan berpelukan antara satu sama lain.

Terdahulu pada prosiding tersebut, Peguam Wee Choo Keong dan Yeo Wei Min dalam mitigasinya menjelaskan adalah tidak adil dan munasabah untuk meletakkan kesalahan dan kematian mangsa di atas bahu anak guamnya sahaja.

“Ini kerana tertuduh tidak mempunyai sebarang niat untuk menyebabkan kematian sebaliknya satu insiden malang bagi kedua-dua pihak.

“Pada akhirnya, kemalangan itu adalah kejadian malang diakibatkan oleh tindakan si mati. Sekiranya si mati hanya memandu pergi, pasti masih hidup hari ini.

“Justeru, pihak pembelaan memohon hukuman maksimum penjara enam tahun daripada tarikh tertuduh ditangkap,” katanya.

Tegasnya, isteri tertuduh juga mengalami keguguran yang disahkan pegawai penyiasat kes selepas direman selama seminggu bagi membantu siasatan kes tersebut.

Bagaimanapun, Timbalan Pendakwa Raya, Raja Zaizul Faridah Raja Zaharudin menegaskan apa yang dibuat tertuduh adalah tidak beretika dan telah meragut satu nyawa.

Ujarnya, ia boleh dielakkan sekiranya tiada tindakan melulu tertuduh dalam kes ini dengan melihat tahap kecederaan dialami si mati.

“Tindak tanduk tertuduh didapati adalah gagal mengawal emosi dan berlebihan. (Hukuman berat) sebagai pengajaran termasuk kepada orang awam dalam pemanduan dan ketika berdepan situasi sukar (sebegini) di jalan raya.

“Kesalahan (tertuduh) ini serius dan kejam. Kes ini juga memberikan impak besar dan pernah tular suatu ketika dahulu,” jelasnya.

Pada prosiding itu juga, isteri mangsa, Qistina Ayu Rozhan berusia 32 tahun yang difahamkan merupakan kakitangan bank turut memberikan kenyataan impak.

Seramai 20 saksi pendakwaan dan 65 eksibit termasuk dokumen berkaitan dikemukakan sepanjang prosiding yang berlangsung bermula 27 Oktober 2021.

Sementara, pihak pembelaan mengemukakan dua saksi termasuk tertuduh yang memberikan keterangan di kandang saksi.

Dalam kejadian 10 Ogos 2019, Syed Muhammad Danial dilaporkan meninggal dunia setelah terlibat dalam perselisihan faham dengan seorang pemandu lain dalam kemalangan berhampiran persimpangan Southville City di Lebuh Raya Utara-Selatan.

Sebelum ini, kejadian melibatkan kes tersebut tular di media sosial dikatakan berpunca daripada kemalangan kecil antara mangsa dan suspek selepas Plaza Tol Sungai Besi menghala selatan. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI