KOTA TINGGI – Tular di media sosial penemuan tapak kaki disyaki milik ‘pak belang’ di Felda Bukit Aping Barat di sini sehingga mengundang kegusaran dalam kalangan penduduk.
Penduduk yang hanya mahu dikenali sebagai Maznah, 34, berkata, penemuan tapak kaki yang dipercayai harimau menimbulkan kebimbangan penduduk di tanah rancangan itu.
Menurutnya, penduduk Felda berharap Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) akan menjalankan siasatan secepat mungkin serta mengambil tindakan sesuai.
“Penduduk Felda yang ke kebun agak bimbang dengan keselamatan masing-masing.
“Kami khuatir serangan harimau seperti berlaku di Gua Musang yang mengorbankan beberapa nyawa berlaku di sini,” katanya.
Penemuan tapak kaki yang dipercayai harimau tular di media sosial Facebook sejak semalam hingga ia mendapat perhatian ramai.
Malah sesetengah penduduk Felda berkenaan juga menyatakan kebimbangan keluarga masing-masing berikutan penemuan tapak kaki harimau didakwa tidak begitu jauh dengan penempatan penduduk.
Sementara itu Pengarah Perhilitan Johor, Aminuddin Jamin mengesahkan sedang menyiasat aduan berkaitan kehadiran harimau belang di kawasan belukar.
Katanya, siasatan dilakukan susulan laporan diterima pihaknya berhubung haiwan liar itu yang didakwa berkeliaran di Felda berkenaan.
“Kita akan siasat dulu,” katanya ketika dihubungi hari ini. – KOSMO! ONLINE