PETALING JAYA – Susulan penamatan kontrak penyanyi Kaka Azraff bersama syarikat rakaman Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. baru-baru ini, label antarabangsa itu akhirnya mengeluarkan kenyataan berupa alasan kontrak penyanyi wanita itu terpaksa ditamatkan.
Menerusi kenyataan media yang dikeluarkan, Warner Music mengakui bahawa Kaka merupakan seorang penyanyi yang memiliki bakat cukup besar, namun terpaksa menamatkan kontraknya kerana penggunaan bahasa yang digunakan ketika dia meninggalkan komen terhadap pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic, beberapa minggu lalu.
“Kaka Azraff merupakan seorang artis yang sangat berbakat, tetapi malangnya kami terpaksa berpisah (menamatkan kontrak) dengannya disebabkan penggunaan bahasa tertentu (kasar) dalam mesej yang dipaparkan dalam talian,” tulis kenyataan tersebut.
Pada masa sama, Warner Music menegaskan bahawa pihak mereka teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara, namun akan mengambil tindakan tegas terhadap artis mereka yang bertindak dengan cara tidak sepatutnya.
“Walaupun kami teguh memperjuangkan hak kebebasan bersuara oleh artis naungan kami, namun sesiapa yang bertindak dengan cara sedemikian (menggunakan perkataan kasar), tanpa mengira bangsa atau agama, kami akan turut membuat keputusan yang sama,” jelas wakil dari Warner Music.
Terdahulu, kontrak penyanyi Kaka atau nama penuhnya Nor Atiqa Azraff, 34, terpaksa ditamatkan oleh syarikat rakaman Warner Music Malaysia Sdn. Bhd. selepas lantang bersuara mengenai kekejaman Zionis di Palestin.
Perkara tersebut terbukti apabila muncul salinan surat tular yang memaklumkan Warner Music Malaysia menamatkan kontrak Kaka berkuat kuasa 31 Disember ini.
Menurut kontrak tersebut, Kaka tetap perlu memenuhi setiap aktiviti seni yang sudah diatur oleh pihak Warner walaupun selepas kontraknya ditamatkan.
Difahamkan, perkara itu tercetus susulan tindakan penyanyi tersebut meninggalkan komen dengan mengecam pempengaruh dan pelakon Australia pro-Israel, Nathaniel Buzolic, beberapa minggu lalu.
“Kerana Israel adalah orang yang memulakan (perang). Israel mencuri tanah mereka dan kini bertindak seperti mereka mangsa?
“Orang sakit. Hitler sepatutnya membunuh semua Israel!” tulis Kaka.
Pada 13 Oktober lalu, syarikat induk, Warner Music Group memuat naik sebuah hantaran Instagram yang menyatakan sokongan mereka terhadap Israel selain menyifatkan Hamas sebagai pengganas. – KOSMO! ONLINE