fbpx

Bukit Kayu Hitam bukan lagi ‘pekan hantu’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Seorang peniaga menyusun barang di lot niaganya di Kompleks Darul Qiyyam, Bukit Kayu Hitam semalam.

BUKIT KAYU HITAM – Pernah bergelar ‘pekan hantu’ ketika pandemik Covid-19 hampir empat tahun lalu, Bukit Kayu Hitam kini kembali ‘hidup’ terutama di bazar niaga Kompleks Darul ­Qiyyam yang menjadi mercu tanda pekan bersempadan dengan Thailand itu.

Tinjauan Kosmo! mendapati, feno­mena kebanjiran rakyat Malaysia ke Hatyai sejak kebelakangan ini menjadikan kawasan itu meriah semula, sekali gus memberi impak positif kepada peniaga.

Menurut seorang peniaga insurans, Faridah Abdullah, 57, dia gembira dengan perkembangan terbaharu itu yang dilihat berjaya menamatkan era kesuraman Bukit Kayu Hitam.

“Bila pintu sempadan ditutup, Bukit Kayu Hitam memang menjadi ‘pekan hantu’. Walaupun setelah sempadan dibuka semula, keadaan masih tidak ba­nyak berubah, masih tidak meriah seperti sebelum pandemik.

“Bagaimanapun, sejak ke­belakangan ini keadaan menjadi lebih baik apabila orang ramai keluar masuk Thailand terutama ke Hatyai. Ini membo­lehkan peniaga mendapat rezeki. Semasa perayaan Deepavali lepas, lebih 30 bas persiaran singgah di kompleks ini,” katanya ketika ditemui di Kompleks Darul ­Qiyyam di sini semalam.

Peniaga pakaian dan kelengkapan rumah, Yaze Salleh, 53, lega apabila berpeluang kembali ke bazar niaga tersebut yang pernah menjadi sumber pendapatannya.

“Hampir empat tahun juga kami keluar sebab tak ada pe­ngunjung, tetapi sejak ada pe­ngurusan baharu, kompleks ini melakukan pembangunan semula dan menampakkan sedikit impak positifnya, jadi kami kembali.

“Kompleks ini sebenarnya mampu menjadi sebagai pusat henti dan rehat mereka yang dalam perjalanan keluar atau masuk dari Thailand untuk berehat seketika sebelum meneruskan perjalanan,” ujarnya.

Dalam pada itu, menurut ­Ketua Pegawai Eksekutif Tnex Asset (M) Sdn. Bhd., Ir Zainal Shamsuddin, keseluruhan 90 lot niaga di premis berkenaan akan diisi secara berperingkat menje­lang hujung tahun ini.

“Sebagai syarikat pengurusan baharu kompleks ini, kita berusaha menaik taraf tempat ini sebaik mungkin bagi membo­lehkannya kembali aktif,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI