KUALA NERUS – Golongan peniaga di Pusat Perniagaan Dataran Rimba, Gong Badak, di sini, mengakui caj letak kenderaan di pusat perniagaan itu yang membebankan menjadi antara punca pondok bayaran parkir dibakar buat kali kedua.
Seorang peniaga, Mohd. Shafie Md. Razali mendakwa, dia tidak bersetuju dengan perbuatan vandalisme itu, namun mengakui caj RM1 sejam yang dikenakan bagi meletak kenderaan di pusat perniagaan tersebut membebankan pengguna.
“Bukan hanya pelanggan, malah peniaga dan pekerja-pekerja premis perniagaan di kawasan ini lagi terbeban.
“Saya dan pekerja-pekerja perlu membayar caj harian RM10 atau purata RM300 sebulan setiap seorang hanya untuk meletak kenderaan,” katanya ketika ditemui Kosmo! di Dataran Rimba, di sini semalam.
Mohd. Shafie memberitahu, pelaksanaan caj letak kenderaan itu juga menyebabkan pusat perniagaan tersebut semakin sunyi dengan kehadiran pelanggan.
Katanya, sebahagian rakan peniaga juga telah menutup operasinya di pusat perniagaan tersebut akibat kekurangan pelanggan sejak ura-ura pelaksanaan caj tempat meletak kenderaan tersebut beberapa bulan lalu.
Seorang lagi peniaga, Muhd. Shahamiza Ali berkata, caj RM1 sejam yang dikenakan tidak sepadan dengan perkhidmatan kerana parkir yang disediakan tidak berbumbung, malah tiada kawalan keselamatan.
“Bukan kami menentang pelaksanaan caj meletak kenderaan, tetapi biarlah berpadanan dengan perkhidmatan diberikan,” ujarnya.
Kosmo! semalam melaporkan pondok pembayaran tempat letak kenderaan di Pusat Perniagaan Dataran Rimba dibakar lagi buat kali kedua pada Isnin lalu setelah baru dua hari beroperasi.
Sebuah lagi pondok pembayaran di kawasan sama turut rosak akibat perbuatan vandalisme pada sehari sebelumnya.