PETALING JAYA – Misteri kehilangan seorang kanak-kanak lelaki terjawab apabila ditemui selamat di rumah jirannya di flat sama di Desa Mentari di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Petaling Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Fakhrudin Abdul Hamid, berkata Muhammad Khairul Ikhwan Muhammad Rashid, 11, ditemui di rumah warga emas di sebuah blok flat terbabit.
“Dia ditemui dalam keadaan selamat. Difahamkan, kanak-kanak ini selalu keluar rumah semasa ibu bapanya keluar bekerja.
“Rutinnya yang selalu keluar rumah menyebabkan ibu bapanya lewat membuat laporan polis iaitu pada 24 November lalu meskipun tidak pulang ke rumah sejak 26 Oktober,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Terdahulu, media melaporkan, polis sedang giat mengesan seorang kanak-kanak lelaki berusia 11 tahun yang kali terakhir dilihat di sebuah flat di Desa Mentari di sini. – KOSMO! ONLINE