fbpx

‘Tak cerai, Nur Nilam salah faham tak mahir bahasa pasar’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azlan menafikan dakwaan dirinya dan isteri, Nur Nilam sudah bercerai namun wujud salah faham antara mereka.

KUALA LUMPUR – “Kami bergaduh soal bisnes. Saya cakap pada isteri (Nur Nilam), engkau buat jalan engkau, aku buat jalan aku. Saya tak sebut pun perkataan cerai atau talak. Jadi dia ingat saya ceraikan dia.

Itu penjelasan pelakon Azlan Komeng terhadap dakwaan lafaz cerai yang dilakukan terhadap isterinya, Nur Nilam Ortiz, baru-baru ini.

Azlan atau nama lengkapnya Muhammad Azlan Kamiran, 47, ketika ditemui Kosmo! Online berkata, timbul salah faham apabila isterinya menganggap telah pun diceraikan ketika mereka bergaduh.

Bagaimanapun, mereka sudah pun merujuk perkara tersebut ke mahkamah syariah dan mendapati tiada perceraian berlaku.

“Kami kemudiannya merujuk perkara tersebut ke mahkamah syariah. Alhamdulillah, rumah tangga kami tiada masalah dan sudah pun diselesaikan di mahkamah,” katanya.

Jelas Azlan lagi, ramai tidak tahu bahawa isterinya bukanlah orang Melayu, sebaliknya berketurunan Siam dan Sepanyol. Malah wanita itu hanya mempelajari bahasa Melayu menggunakan buku atau bahasa formal.

“Jadi bila bercakap bahasa pasar (tidak formal), dia selalu salah faham,” ujarnya.

Bercerita lebih lanjut, Azlan memberitahu punca dia dan juga isterinya bergaduh adalah disebabkan perniagaan dan masing-masing tidak sehaluan.

“Punca sebenarnya mengenai perniagaan. Kami sekarang perlahan-lahan ada sertai acara jualan makanan. Isteri banyak terbabit dalam perniagaan besar, saya pula kecil.

“Jadi kami mempunyai jalan berbeza dalam mengendalikan bisnes sehingga boleh bergaduh. Jadi saya cakap pada isteri, engkau buat jalan engkau, aku buat jalan aku. Itu yang menjadi punca dia ingat saya ceraikan dia,” jelas Azlan.

Untuk meredakan hati, Azlan bertindak keluar rumah kerana tidak mahu bergaduh. Namun, isterinya membuat kenyataan ketika dia tiada di rumah.

“Memang terkejut jugalah. Isteri sebenarnya tidak bersetuju sekiranya kami bercerai. Lagi pun dia faham perkara seperti itu tidak boleh dibawa main. Jadi kami memutuskan untuk rujuk kepada pihak yang lebih arif.

“Hakim (mahkamah) pun gelak bila saya ceritakan semuanya. Jadi, alhamdulillah perkara ini sudah pun selesai apabila mahkamah memutuskan tiada perceraian yang terjadi.

“Sebab saya tidak sebut langsung perkataan cerai atau talak. Maafkan isteri saya kerana terlalu cepat membuat andaian. Nur Nilam juga tidak faham sepenuhnya bahasa Melayu terutama bahasa pasar,” jelasnya.

Pada masa sama, Azlan yang ditemui pada tayangan perdana filem terbaharunya, Anak Perjanjian Syaitan 2 di sini, malam tadi juga menolak dakwaan segelintir pihak berhubung kewujudan orang ketiga dalam rumah tangganya.

“Sebenarnya tiada orang ketiga, bekas isteri saya pun tak pernah mengganggu. Kalau betul saya masih ada berbuat jahat dengan perempuan selepas saya bernikah dengan Nur Nilam, keluarkan.

“Selepas bernikah dengan Nur Nilam, kalau benar ada skandal, saya boleh mengaku, tiada masalah,” katanya.

Sebelum ini, Nur Nilam mengesahkan sudah bercerai dengan Azlan, baru-baru ini. Dia juga memaklumkan hadir ke Mahkamah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi membuat pengesahan lafaz cerai pada 30 November lalu.

Azlan dan Nur Nilam mendirikan rumah tangga pada 22 Januari tahun lalu. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI