PETALING JAYA – Orang ramai mengecam tindakan segelintir wanita yang didakwa mempermainkan hukum Islam berkaitan poligami yang mana sekiranya golongan tersebut dibenarkan memiliki lebih daripada seorang suami.
Kecaman itu susulan tular di media sosial hantaran didakwa seorang pengguna TikTok yang kemudiannya mendapat maklum balas segelintir pengguna lain yang dikatakan turut memainkan hukum poligami.
Antara komen yang ditinggalkan seperti seronok jika wanita boleh mengamalkan poligami selain mahu mencukupkan kuota suami empat orang.
“Bapak bestnya kalau perempuan boleh poligami,” kata seorang pengguna.
“Risau anak nak bin atau binti dengan suami yang mana satu pula,” kata pengguna TikTok yang lain ditambah dengan emoji ketawa.
“Kalau boleh nak empat terus cukupkan kuota, senang hahaha,” ujar seorang lagi pengguna TikTok.
Gurauan dianggap melampau itu turut mendapat teguran daripada pendakwah bebas, Firdaus Wong menerusi hantaran pada Instagram beliau hari ini sekali gus menerima maklum balas daripada pengikutnya yang bersetuju, hukum Islam tidak boleh dipermainkan.
“Apabila hukum dijadikan gurauan dan imaginasi pula tidak dipasakkan pada al-Quran dan sunnah. Kenapa selama ini saya berusaha mendidik masyarakat agar jangan terlalu emosional dan berfikiran rasional?
“Kerana saya tahu apabila emosional seseorang itu tinggi, maka rasional seseorang itu akan menjadi rendah. Seorang yang emosional akan senang dimanipulasi.
Dimanipulasi oleh orang lain dan bisikan syaitan sehingga bertindak di luar batasan syariat agama Islam.
“Apabila seseorang itu mampu berfikir rasional, dia akan berfikir dan bertindak berpandukan al-Quran dan Sunnah. Islam menggalakkan manusia berfikir. Nak bergurau? Boleh silakan, Islam tidak melarang manusia bergurau, tetapi ada batasannya. Jangan menjadikan agama sebagai bahan gurauan,” tegasnya.
Firdaus turut menegaskan bahawa Islam mempunyai prinsipnya yang tersendiri.
“Selepas berimaginasi dengan kalaulah perempuan boleh berpoligami, apakah akan ‘dihalalkan’ pula dengan imaginasi songsang tentang Allah dan Rasul pula?
“Saya tidak terkejut andai semua itu berlaku apabila manusia yang mengaku muslim membiarkan dirinya bertindak mengikut emosi bukan mengikut ajaran Islam,” katanya. – KOSMO! ONLINE