fbpx

Dewan Negara: 1.38 juta rakyat Malaysia jalani saringan kesihatan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Gambar hiasan

KUALA LUMPUR – Seramai 1.38 juta individu telah berjaya disaring dibawah pelaksanaan Inisiatif Saringan Kesihatan Kebangsaan (NHSI) setakat November lalu.

Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Lukanisman Awang Sauni berkata, jumlah tersebut meliputi 92 peratus daripada 1.5 juta yang disasarkan tahun ini.

“Kementerian Kesihatan (KKM) turut melaksanakan intervensi kesihatan kepada komuniti sasaran di 30 Wellness Hub (WH) seluruh negara.

“Sehingga kini, Intervensi Program Pengurusan Berat Badan IfitEr (I Fit and Eat Right) mencatatkan seramai 9,031 klien telah berjaya menurunkan berat badan.

“Manakala intervensi bagi Perkhidmatan Berhenti Merokok mencatatkan seramai 4,846 klien,” katanya pada sidang Dewan Negara di sini hari ini.

Beliau menjawab soalan Senator Tan Sri Mohamed Haniffa Abdullah mengenai langkah meningkatkan kesedaran pemeriksaan kesihatan dan penyebaran literasi kesihatan kepada rakyat.

Selain itu, Lukanisman berkata, seramai 124,300 orang telah menyertai Sambutan Bulan Malaysia Sihat Sejahtera (BMSS) secara fizikal, manakala seramai 3.6 juta orang menyertainya secara dalam talian.

Dalam pada itu, beliau menyambut baik cadangan Senator Datuk Dr. Nuing Jeluing supaya majlis-majlis rasmi kerajaan mengurangkan hidangan air manis kepada para tetamu bagi mengurangkan risiko penyakit diabetes.

“Berhubung air mengandungi gula yang tinggi, kita cuba untuk beri satu garis panduan. Kita juga melaksanakan kempen cukup untuk satu sudu teh untuk setiap pengambilan minuman.

“Kerajaan juga melihat keperluan meletak label pada paket makanan di mana kandungan gula dinyatakan supaya rakyat lebih sedar pengambilan gula setiap makanan mereka,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI