fbpx

Lelaki bunuh tuan rumah kerana sewa didakwa

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad Amirul ketika dibawa ke Mahkamah Majistret hari ini. Foto oleh SYAKIR RADIN/KOSMO!

SELAYANG – Seorang pemuda yang juga penyewa didakwa di Mahkamah Majistret di sini hari ini atas pertuduhan membunuh seorang wanita warga emas yang merupakan pemilik rumah sewanya dua minggu lalu.

Bagaimanapun tiada pengakuan direkodkan daripada tertuduh Mohamad Amirul Arshad Zainudin, 22, selepas pertuduhan dibacakan terhadapnya di hadapan Majistret Chai Guan Hock.

Semasa pertuduhan dibacakan, tertuduh mengangguk dan faham pertuduhan. Pengakuan tidak direkodkan berikutan kes bunuh di bawah kuasa Mahkamah Tinggi.

Mengikut pertuduhan, tertuduh didakwa telah membunuh Hong Kee Ing, 70, di parkir kereta Jalan E4/1, Taman Ehsan di sini antara pukul 8.30 malam pada 22 November hingga 9.50 malam pada 23 November lalu.

Berikutan itu pendakwaan dikemukakan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak lebih 40 tahun dan tidak kurang 12 sebatan jika sabit kesalahan.

Semasa prosiding pendakwaan diwakili Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Nor Hakimi Mohamad Rosedin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Mahkamah kemudian menetapkan 16 Januari tahun depan bagi sebutan semula kes bagi laporan forensik, kimia dan bedah siasat.

Semalam Kosmo! melaporkan gara-gara tidak berpuas hati mengenai kadar sewa rumah, seorang wanita warga emas maut ditikam dan dikelar leher dalam satu kejadian di Taman Ehsan, Kepong, di sini pada 23 November lalu.

Pemangku Ketua Polis Daerah Gombak, Superitenden Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, mangsa wanita warga tempatan berusia 70 tahun ditemui orang awam dalam sebuah kereta jenis Honda City kira-kira pukul 10.16 malam.

Ujarnya, mangsa yang berada dalam keadaan berpakaian lengkap berada di bahagian belakang tempat duduk penumpang ditutup dengan kain selimut.

Menurut Noor Ariffin, hasil pemeriksaan tubuh badan mangsa mendapati terdapat kesan kelar di leher dan tikam di perut.

Susulan itu, pada 27 November, lebih kurang seramai lapan lelaki warga tempatan berusia lingkungan 21 hingga 35 tahun ditahan pihak polis.

“Motif kejadian adalah tidak berpuas hati mengenai kadar sewa rumah,” kata Noor Ariffin. – KOSMO ! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI