fbpx

20 lorong tikus di PKPD Sungai Seluang ditutup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Azhar (depan) bersama anggotanya memeriksa kawat berduri dan penghadang jalan  yang dipasang di kawasan Taman Kangkung malam tadi. Foto AZAHAR HASHIM.

KULIM – Polis menutup sebanyak 20 lorong tikus di dua zon dalam Mukim Sungai Seluang di sini yang dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD) bermula tengah malam tadi.

Zon A terdiri daripada Taman Bayam, Taman Bayam Indah, Taman Kangkong 1, Taman Kangkong 2, Taman Cekur Manis, Taman Seri Limau dan Taman Halia.

Sementara Zon B meliputi Taman Kobis dan  Taman Sawi.

Dua zon tersebut melibatkan sebanyak 1,412 rumah terdiri daripada kira-kira 6,000 penduduk.

Ketua Polis Daerah Kulim, Superintendan Azhar Hashim berkata, pihaknya mengenal pasti lorong tikus dalam kawasan perumahan berkenaan.

“Sebanyak 12 lorong tikus di Zon A dan lapan di Zon B ditutup dengan meletakkan penghadang konkrit dan besi,” katanya ketika ditemui di sini malam tadi.

Kata beliau, terdapat masing-masing empat dan tiga jalan utama dibuka di Zon A dan B untuk pergerakan keluar masuk.

“Semua laluan tersebut didirikan khemah dan dikawal ketat oleh pasukan keselamatan,” ujarnya.

Menurutnya, beberapa lokasi berkenaan turut melibatkan pemasangan kawat berduri serta penghadang jalan di laluan utama.

“Seramai 150 anggota polis ditugaskan di kawasan ini (PKPD) dengan kerjasama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM),” katanya.

Katanya, anggota yang bertugas di jalan keluar masuk diarahkan mematuhi prosedur operasi standard (SOP) serta melakukan pemeriksaan ketat ke atas semua kenderaan yang memasuki kawasan PKPD.

Beliau pada masa sama meminta semua penduduk yang diarahkan menjalani ujian saringan Covid-19 agar mematuhi arahan tersebut.

“Kita akan bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Malaysia sekiranya diperlukan membabitkan penduduk yang ingkar arahan,” tambahnya. – K! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI