fbpx

Perak terus promosi jadi pilihan program Malaysia Rumah Keduaku

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saarani (kanan) ketika bercakap pada sidang DUN di Bangunan Perak Darul Ridzuan, Ipoh hari ini. - Foto MUHAMAD NAZREEN SYAH MUSTHAFA/ KOSMO!

IPOH – Perak akan terus memperkasakan promosi untuk menjadikan negeri itu sebagai pilihan di dalam program Malaysia Rumah Keduaku atau Malaysia My Second Home (MM2H) yang diperkenalkan oleh kerajaan Pusat pada tahun 2002.

Menteri Besar, Datuk Seri Saarani Mohamad berkata, status pelaksanaan program MM2H itu dapat dilihat secara langsung menerusi rekod dan hasil yang diterima dalam sektor hartanah.

Katanya, berdasarkan rekod sistem e-Tanah, dari tahun 2020 hingga kini, Pejabat Pengarah Tanah dan Galian (PTG) negeri telah meluluskan empat permohonan perolehan hartanah oleh peserta MM2H.

Tambahnya, permohonan itu melibatkan kutipan levi sebanyak RM50,700 sehingga 1 November 2023.

“Bagi menarik lebih ramai warga asing untuk melabur, bekerja, belajar dan bersara di bawah program MM2H, kerajaan negeri menggunakan pendekatan bersepadu dengan memperkasa peranan jabatan dan agensi berkaitan untuk bersama-sama meningkatkan promosi pelaburan, pelancongan, dan pendidikan di Negeri Perak,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam sesi soal Persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak di sini hari ini ketika menjawab soalan Wong May Ing (PH-Pantai Remis) yang bertanyakan tentang MM2H.

Kata Saarani lagi, kerajaan negeri melalui Pekeliling Pengarah Tanah dan Galian Bilangan 12/2022 telah menetapkan Dasar Perolehan Hartanah Oleh Warganegara Asing di Negeri Perak melibatkan tujuh aspek utama iaitu penetapan paras harga minima mengikut zon pihak berkuasa tempatan, kategori dan jenis hartanah dan penetapan had kuota perolehan.

Selain itu ialah penetapan jenis pegangan perolehan, perolehan hartanah oleh warganegara asing, penetapan kadar bayaran levi perolehan hartanah, penetapan kadar harga minima hartanah dan Perolehan Hartanah Oleh Penduduk Tetap serta larangan perolehan hartanah oleh warganegara asing.

Katanya lagi, tujuan MM2H adalah untuk menggalakkan kehadiran warga asing yang berpendapatan tinggi serta berbelanja supaya memberi faedah kepada negeri, dan bukan semata-mata menjadikan Perak lokasi selepas bersara tanpa sebarang kesan ekonomi. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI