fbpx

Eyka Farhana belum sampai seru kahwini Akhyar Rashid

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Lima tahun menyulam cinta, pelakon Eyka Farhana masih belum punya perancangan untuk berkahwin dengan kekasih yang juga pemain bola sepak, Akhyar Rashid.

KUALA LUMPUR – Selepas lima tahun menyulam cinta, pelakon Eyka Farhana mengakui masih belum mempunyai perancangan untuk menamatkan zaman solonya bersama kekasih yang juga pemain bola sepak kebangsaan, Akhyar Rashid dalam masa terdekat.

Eyka atau nama lengkapnya Wan Atiqa Farhana Wan Sarmizi berkata, masih banyak lagi perkara yang ingin dicapainya sebagai pelakon, termasuk impian untuk mengembangkan kerjayanya sehingga ke negara jiran.

“Kalau tanya pasal kahwin, memang kami belum ada perancangan untuk ke arah itu. Orang kata belum sampai seru. Kami pun tengah sibuk dengan kerjaya masing-masing.

“Masih banyak lagi impian kami yang belum tercapai. Orang kata kalau jodoh tak ke mana,” katanya kepada Kosmo! Online.

Eyka yang ditemui semasa majlis tayangan perdana filem Perjanjian Anak Syaitan 2 di sini, malam tadi berkata, dia belum puas lagi untuk mengembangkan kerjayanya sebagai pelakon.

“Lagi pun saya belum puas untuk kembangkan kerjaya. Antara impian saya untuk tahun 2024 adalah untuk menembusi pasaran negara jiran (Indonesia).

“Nanti bila sudah sampai seru, saya sendiri yang akan uar-uarkan kepada semua. Lagi pun ibu bapa saya pun memahami dan tidak pernah bertanyakan apa-apa,” jelasnya.

Sebelum ini, pelakon berusia 28 tahun itu dilihat menutup status perhubungan dengan kekasih hati kepada umum, namun mula terbuka berkongsi kisah cinta bersama pemain bola sepak itu sejak 2020.

Dalam perkembangan lain, Eyka turut memasang impian untuk berlakon dalam sebuah naskah aksi yang memerlukan dirinya melakukan sendiri babak lasak.

Katanya, sepanjang berkecimpung dalam bidang seni sebagai pelakon, dia belum pernah diberi kepercayaan untuk melakonkan babak aksi, mungkin disebabkan kerana faktor saiz tubuhnya yang kecil.

“Saya teringin nak berlakon dalam drama atau filem aksi. Mungkin sebab badan saya terlalu kecil, jadi peluang itu masih belum ada.

“Kalau ditawarkan suatu hari nanti, saya sanggup lakukan sendiri babak aksi. Tapi perlulah menjalani latihan terlebih dahulu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI