fbpx

Pegawai penjara dituduh pecah amanah wang banduan lebih RM9,000

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hasry Hisham dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, Kuala Pilah, Negeri Sembilan hari ini atas tuduhan pecah amanah wang milik banduan bernilai RM9,850 di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu, Mac hingga Mei tahun ini. FOTO NOR AINNA HAMZAH/ KOSMO!

KUALA PILAH – Seorang pegawai penjara berpangkat inspektor dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini atas tuduhan pecah amanah wang milik banduan bernilai RM9,850 di Pusat Pemulihan Dadah Jelebu, Mac hingga Mei tahun ini.

Tertuduh, Hasry Hisham Hassan, 33, bagaimanapun mengaku tidak bersalah dan mohon dibicarakan sebaik pertuduhan dibacakan di hadapan Hakim, Norma Ismail.

Berdasarkan pertuduhan, tertuduh sebagai penjawat awam iaitu inspektor penjara kepada Pusat Pemulihan Dadah Jelebu dan dalam kapasiti tersebut telah diamanahkan kepada penguasaan ke atas harta tertentu iaitu wang tunai milik banduan yang dimasukkan ke dalam pusat berkenaan.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Muhammad Qaiyyum Ramlan, manakala tertuduh diwakili peguam, Adi Zulkarnain Zulkafli.

Muhammad Qaiyyum kemudiannya mencadangkan wang jaminan sebanyak RM6,000 ke atas tertuduh.

Bagaimanapun, Adi Zulkarnain menyatakan anak guamannya mempunyai tanggungan seorang isteri dan dua anak berusia lapan serta enam tahun dengan pendapatan bersih RM2,200 sebulan.

Mahkamah kemudiannya menetapkan wang jaminan sebanyak RM5,000 dengan seorang penjamin dan 10 Januari ini sebagai tarikh sebutan semula kes.

Difahamkan, pada 7 Julai lalu, seorang lelaki warganegara Indonesia yang merupakan banduan yang akan dibebaskan membuat laporan kepada pihak penjara iaitu dia tidak menerima semula wang tunai berjumlah RM9,850 yang di bawa semasa dimasukkan ke dalam pusat berkenaan. – KOSMO! ONLINE

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI