KUALA LUMPUR – Malaysia berpeluang menyambar tiket awal ke peringkat suku akhir Piala Dunia Hoki Remaja 2023 sekiranya menang ke atas Argentina dalam aksi kedua Kumpulan A di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil malam ini.
Tugasan itu dilihat tidak mudah kerana Argentina turun dengan status selaku juara bertahan selain turut berjaya menewaskan satu lagi pasukan pilihan, Australia 1-0 pada aksi pertama semalam.
Bagaimanapun, pengendali skuad remaja lelaki negara, Muhamad Amin Rahim percaya dengan keupayaan anak-anak buahnya untuk mengejutkan Argentina walaupun lawan dikatakan ‘menyimpan kuku’ ketika menentang Australia.
“Argentina adalah pasukan yang ada kemahiran individu sangat tinggi. Struktur mereka agak berbeza berbanding pasukan-pasukan lain walaupun ada sedikit persamaan corak permainan dengan Chile.
“Mereka menang saat-saat akhir ke atas Australia, mungkin mereka simpan kuku dan tunggu untuk beraksi dengan kita. Jadi kita tak boleh leka sesaat dan fokus kepada apa yang mahu dilakukan.
“Namun, saya percaya keupayaan pemain saya mampu bersaing dengan mereka kerana Argentina kali ini taklah sehebat seperti di Bhubaneswar. Kita akan berikan segala-galanya untuk dapatkan mata,” katanya.
Barisan pemain meraih tonik terbaik berdepan Argentina yang menjuarai edisi 2021 di Bhubaneswar, India berdasarkan kejayaan menewaskan Chile 7-1 pada aksi pertama kelmarin.
Ia hasil dua jaringan Shahmie Irfan Suhaimi dan masing-masing satu Harris Iskandar Osman, Danish Aiman Khairil Anuar, Andywalfian Jeffrynus, Azmilmuizzuddin Misron dan Shamir Rizmi Shamsul.
“Bagus untuk keluar dengan kemenangan dalam perlawanan pertama. Kredit kepada para pemain kerana turun dengan semangat juang tinggi walaupun masih ada beberapa aspek perlu dipertajamkan sebelum bertemu Argentina,” jelas Amin.
Sebagai rekod, Young Tigers berjaya menewaskan Argentina 3-2 ketika kali terakhir kedua-dua pasukan membuat perhitungan sewaktu Piala Sultan Johor 2015. – KOSMO! ONLINE