PETALING JAYA – Pelaksanaan subsidi bersasar yang dibuat kerajaan bagi membantu golongan berpendapatan rendah adalah termasuk membela nasib golongan M40.
Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata, golongan tersebut adalah termasuk dalam 10 juta rakyat Malaysia yang layak menerima manfaat terbabit.
Beliau memberi jaminan bahawa kerajaan akan meredakan sebarang kenaikan harga barang atau petrol akibat pelaksanaan subsidi bersasar itu dengan meningkatkan suntikan tunai rahmah (STR).
Jelasnya, kerajaan melihat bantuan tunai adalah lebih baik berbanding pemberian subsidi secara pukal.
“Jumlah 10 juta (penduduk) itu adalah mencecah (termasuk) M40…faedah yang kita beri suntikan ini seperti RM100 melalui e-Madani dan kita akan teruskan.
“Kerana kalau kita beri subsidi pukal, saya tegas kan sekali lagi faedahnya kepada 3.5 juta warga asing dan dimanfaatkan juga oleh golongan kaya yang mewakili 10 peratus daripada penduduk negara,” katanya ketika sesi wawancara khas Setahun Bersama Kerajaan Madani: Tiwikrama Perdana Menteri, malam ini.