RANTAU PANJANG – Cuaca panas dan cerah hari ini memberi peluang kepada mangsa banjir yang berlindung di pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Kebangsaan (SK) Gual Tok Deh di sini pulang ke rumah mereka untuk membasuh dan menjemur pakaian.
Tinjauan Kosmo! di Kampung Tersang di sini mendapati, penduduk pulang ke kediaman masing-masing meskipun halaman rumah mereka masih digenangi air bah setinggi 0.7 meter.
Mangsa banjir, Fauziah Che Daud, 60, berkata, cuaca panas di sekitar kawasan Rantau Panjang sejak dua hari lalu membolehkan penduduk membasuh dan menjemur pakaian.
Menurutnya, penduduk di Kampung Tersang membasuh pakaian menggunakan air banjir yang merupakan air limpahan Sungai Golok.
“Saya tidak boleh membasuh pakaian menggunakan mesin basuh lagi setakat ini. Jadi, saya basuh baju-baju kotor menggunakan tangan,” katanya.
Seorang lagi penduduk, Sanah Ya, 58, berkata, dia pulang untuk melihat keadaan rumah selepas tiga hari berada di PPS SK Gual Tok Deh.
Katanya, dia mengakui tidak selesa berada di PPS terutamanya untuk membasuh pakaian kerana perlu berkongsi bekalan air dengan lebih 800 mangsa banjir yang lain.
Sementara itu, Sekretariat Pengurusan Bencana Negeri Kelantan berkata, jumlah mangsa banjir di Pasir Mas menurun kepada 5,791 orang susulan cuaca panas di kebanyakan kawasan di daerah tersebut sejak beberapa hari lalu.
Menurutnya, jumlah itu mencatatkan penurunan sebanyak 116 orang daripada 5,907 orang mangsa yang berlindung di PPS pada pukul 12 tengah hari tadi.
“Kesemua mangsa banjir merupakan penduduk di kawasan Pasir Mas dan Rantau Panjang yang terdiri daripada 1,811 keluarga dan mangsa terjejas ditempatkan di 13 buah PPS di daerah ini,” katanya. – KOSMO! ONLINE.