INDUSTRI maritim di Malaysia mempunyai potensi besar untuk berkembang dalam usaha menyokong perancangan program sekuriti makanan negara.
Sebagai sektor yang kompleks, industri maritim merangkumi pelbagai aktiviti termasuk perkapalan, logistik, perikanan dan akuakultur.
Menurut pemain, industri maritim memainkan peranan penting dalam ekonomi dan strategi sekuriti makanan negara.
Sektor ini menyumbang 5 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) global yang dianggarkan sebanyak AS$3 trilion (RM14 trilion) setahun.
Berdasarkan kepentingan ini, pihak bertanggungjawab perlu mengambil inisiatif untuk menghubungkan nelayan kecil di Malaysia dengan pemborong melalui aplikasi dan laman webnya.
Agensi bertanggungjawab terhadap operasi sektor ini seharusnya menumpukan pada usaha meluaskan liputan.
Ia bagi memastikan bekalan yang konsisten kepada pelanggan, baik dalam pasaran, selain meningkatkan produktiviti nelayan serta menyediakan cara pengeluaran mampan.
Bagaimanapun, nilai hasil marin di Malaysia masih boleh dipertingkatkan.
Terdapat perbezaan besar antara pengeluaran dan pengoptimuman sektor ekonomi ini.
Justeru, terdapat peluang besar kerana industri perikanan kurang diberi perhatian sehingga perubahan kecil akan menjana nilai ekonomi dalam sektor ini.
Misalnya, penternakan ikan laut dalam sangkar secara komersial masih kurang mendapat perhatian.
Terdapat juga rungutan yang diketengahkan pengusaha seperti masalah pengurusan sisa ikan dalam industri.
Pada masa ini, kerugian selepas tuaian untuk komoditi marin adalah sekitar 43 peratus. Ini kerana tidak semua bahagian ikan atau hasil laut lain boleh dioptimumkan.
Sektor maritim di Malaysia perlu memproses bukan sahaja daging ketam untuk pelanggan, tetapi menjadikan kulit kerang kepada serbuk untuk dijadikan makanan kepada ikan ternakan dalam sangkar.
Dengan mengoptimumkan pengurusan sisa ikan, ia akan menggandakan keuntungan dalam industri.
Kedua, sektor maritim adalah industri global, bermakna syarikat pemula dalam bidang ini boleh menjangkau pasaran yang luas dan memberi kesan pada skala global.
Keberuntungan merupakan implikasi yang harus difikirkan. Ia hanya akan berlaku dalam sektor yang mendapat sokongan perkhidmatan terbaik kerana nilai kecekapan dalam semua industri semakin tinggi.
Permintaan adalah besar dan pelaburan ke atas sektor ekonomi ini dilihat bukanlah umpama membakar wang.
Jadi, syarikat pemula maritim boleh memberikan peluang lebih besar untuk mengukuhkan ekonomi negara.
Terdapat beberapa cabaran pada masa hadapan untuk sesebuah syarikat pemula memberi tumpuan kepada maritim dan penyelesaian yang cuba diusahakan.
Cabaran paling ketara yang akan dihadapi oleh syarikat pemula berasaskan maritim adalah sumber manusia, termasuk menarik dan mengekalkan pekerja mahir, menghadapi tenaga kerja yang semakin tua dan menggalakkan kepelbagaian serta keterangkuman.
Perbezaan kaedah dan gaya penangkapan hasil laut yang tidak seragam di kawasan-kawasan berbeza juga merupakan satu lagi cabaran.
Hal ini kerana, kadangkala sukar untuk mendekati masyarakat dan mencari penyelesaian bersama tentang cara penangkapan atau pengendalian hasil tangkapan.
Justeru, pihak berkepentingan dan kerajaan seharusnya menyarankan syarikat pemula mengemukakan pendekatan berbeza di setiap wilayah, walaupun penyelesaiannya adalah sama.
Cara untuk agensi melibatkan masyarakat dan cara memelihara alam sekitar adalah perkara paling penting untuk memastikan penglibatan komuniti dalam program memperkasa ekonomi maritim.
Di samping itu, kebanyakan proses memancing masih tradisional.
Masih ramai nelayan yang menyelam tanpa peralatan sesuai dan menangkap ikan secara tradisional.
Ini mengakibatkan kekurangan kecekapan dalam pengeluaran.
Agensi bertanggungjawab perlu mendidik dan mendigitalkan nelayan untuk meningkatkan produktiviti.
Kecekapan akan meningkat selepas mereka menggunakan peralatan terkini dalam industri.
Pembangunan infrastruktur juga penting untuk menyokong kemampanan industri maritim.
Terutamanya, infrastruktur navigasi termasuk rumah api, sistem radar, sistem kedudukan global (GPS) dan teknologi lain bagi membantu navigasi kapal dengan selamat serta cekap.
Sebagai contoh, elektrik mungkin tidak tersedia di setiap kawasan pada waktu tertentu.
Namun, kerajaan secara beransur-ansur perlu memberi tumpuan kepada pembangunan rangkaian elektrik dan data. Secara keseluruhannya, industri maritim mempunyai potensi besar untuk pertumbuhan dan inovasi.
Ia merupakan sektor yang akan terus memainkan peranan penting dalam ekonomi dan masyarakat global.
Meningkatkan kecekapan pengeluaran memerlukan pendekatan holistik yang melibatkan pengoptimuman proses, mengurangkan pembaziran serta melabur dalam latihan dan pembangunan.