fbpx

Tawar perkhidmatan ‘cash-out’ eMadani serendah RM1

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Perkhidmatan penebusan tunai (cash-out) atau pemindahan ‘peer-to-peer’ kredit eMADANI semakin rancak ditawarkan di platform media sosial.

PETALING JAYA – Sejak kelmarin, rakyat Malaysia berusia 21 tahun dan ke atas serta berkelayakan mula menebus kredit eMadani sebanyak RM100 menerusi beberapa platform seperti e-dompet Touch ‘n Go, MAE dan ShopeePay.

Dalam pada itu, terdapat sekumpulan individu mengambil kesempatan dengan menawarkan perkhidmatan penebusan tunai (cash-out) atau pemindahan ‘peer-to-peer’ kredit eMADANI menerusi pelbagai platform media sosial.

Menerusi tinjauan Kosmo! di Facebook dan aplikasi X, penawar perkhidmatan tersebut membuka peluang kepada sesiapa yang ingin membuat penebusan tunai eMadani dengan bayaran caj sekitar RM1 sehingga RM15 untuk sekali transaksi.

Katanya, caj tersebut sebagai bayaran ganti rugi terhadap proses penubusan yang dilakukan.

“Itulah prosesnya kerana e-dompet Touch ‘n Go juga mengenakan bayaran kepada pemilik kedai bagi setiap transaksi,” terang salah seorang penawar perkhidmatan.

Bagaimanapun, terdapat juga individu lain yang menawarkan perkhidmatan ‘cash-out’ kredit eMADANI tanpa membabitkan sebarang bayaran sehingga menerima lebih 20 pelanggan dalam tempoh kurang 24 jam.

“Siapa yang nak ‘cash-out’ kredit eMadani, boleh DM (personal mesej) saya. Jangan risau tiada bayaran dikenakan.

“Alhamdulillah dan terima kasih kerana percaya dengan servis saya. Siapa yang nak saya bantu lagi, cepat-cepat sementara saya masih rajin untuk buat kerja amal. Kita guna akaun e-dompet Touch ‘n Go bisness (perniagaan) saya. Free of charge (perkhidmatan tanpa bayaran),” ciapnya semalam.

Dalam pada itu, hasil tinjauan juga mendapati, orang ramai semakin rancak mendapatkan perkhidmatan ‘cash-out’ kredit eMadani di media sosial.

“Siapa yang tawarkan servis ‘cash-out’ eMadani, komen dekat bawah, saya memerlukan duit RM100 itu,” ciap pengguna aplikasi X.

“Ada yang sedia bantu tebuskan kredit eMadani tak? Tapi yang tak kenakan caj?,” soal pengguna media sosial lain.

Terdahulu, Kementerian Kewangan (MOF) menasihati orang ramai untuk sentiasa berwaspada dengan tawaran perkhidmatan penebusan tunai kredit eMadani oleh pihak tidak bertanggungjawab di platform media sosial.

MOF dalam kenyataan berkata, ini bagi mengelakkan penerima manfaat eMadani daripada menjadi mangsa penipuan ‘scam’ dan sekali gus hilang kredit eMadani mereka.

Sebelum ini, Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim memaklumkan, bantuan yang dilaksanakan secara sekali bayar (one-off) itu dibuka mulai 4 Disember hingga 20 Februari 2024.

Ia merupakan inisiatif daripada Kementerian Kewangan (MoF) dilancarkan bertujuan menggalakkan ekonomi digital dan memupuk budaya pembayaran tanpa tunai, memanfaatkan 10 juta rakyat dewasa yang layak dengan peruntukan RM1 bilion. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI