KUALA LUMPUR – Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim) bekerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) bagi mencari individu yang menggelar dirinya sebagai Imam Mahdi di media sosial untuk berbincang dan memberi nasihat.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Mohd. Na’im Mokhtar berkata, pihaknya telah cuba menghubungi lelaki tersebut, namun tidak dapat dihubungi sekali gus Jakim memohon bantuan polis.
“Setakat ini tak jumpa lagi, cuma kita bekerjasama dengan PDRM untuk mencari individu tersebut. Saya sendiri harapkan sebab kita mahu berbincang.
“Biasalah kadang-kadang manusia ini ada kesilapan. Saya telah arahkan Jakim untuk mengambil pendekatan menghubungi individu itu untuk berbincang dan Jakim akan berikan penjelasan.
“Dakwah itu penting yang saya rasa Jakim kena jalankan. Kita hubunginya, tapi tak dapat hubungi jadi kita cuba langkah kedua memohon bantuan PDRM,” katanya.
Beliau berkata demikian Pelancaran Transformasi dan Perubahan Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam Malaysia (Yapeim) atau Transformasi Najjah di Pusat Konvensyen dan Pameran Matrade di sini, hari ini.
Terdahulu, Kosmo! melaporkan individu yang menggelar dirinya sebagai Imam Mahdi di media sosial akan dipanggil oleh Jakim masa terdekat bagi tujuan nasihat atas kenyataannya itu.
Dalam perkembangan lain, Mohd. Na’im akan berbincang dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jakim berhubung penyelarasan fatwa terhadap ajaran Mhd Mohib Khouli Nazem.
Hal ini selepas ia diputuskan sesat dan bercanggah dengan akidah Islam oleh Jawatankuasa Fatwa Terengganu.
“Apa-apa sahaja isu fatwa kalau berlaku di satu-satu negeri melibatkan doktrin atau pengajaran dianggap sesat, kita cuba untuk selaraskan.
“Saya akan bincang dengan Pejabat Mufti Wilayah Persekutuan dan Jakim untuk kita selaraskan. Cuma setakat hari ini nasihat saya oleh kerana Jawatankuasa Fatwa di Terengganu dah diwartakan, maka wajib seluruh mereka di Terengganu mematuhi fatwa itu,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE.