PETALING JAYA – Tidak sampai seminggu dibuka, pihak pengurusan Tun Razak Exchange (TRX) terpaksa menutup sebahagian kemudahan taman permainan air kanak-kanak yang dilaporkan disalah guna segelintir ibu bapa.
Menurut hantaran @sueannajoe_ di aplikasi X, kawasan permainan itu sememangnya direka sebagai tempat permainan air kanak-kanak.
Bagaimanapun, binaan berbentuk S yang ditutup itu bukan tempat untuk kanak-kanak berendam, sebaliknya kawasan ‘waterplay’ yang dibina bersama beberapa aparatus interaktif khas untuk kanak-kanak.
Dalam tangkap layar yang dikongsikan @sueannajoe_, pihak TRX mengakui sedang berusaha meletakkan tanda amaran supaya penggunaan alatan di taman permainan tersebut itu lebih jelas.
Meninjau ke ruangan komen, rata-rata pengguna media sosial meluahkan rasa kesal terhadap segelintir ibu bapa yang membiarkan anak-anak mereka bermain di kawasan tidak sepatutnya.
“Seluruh kawasan itu dibina untuk kanak-kanak main air. Yang penting, ibu bapa kena pantau,” kata Hafees.
“Permainan air ini sebenarnya bagus untuk perkembangan kanak-kanak. Tetapi itulah, sayangnya ramai yang tidak faham cara untuk menggunakan alatan tersebut dengan betul,” kata Durrah.
“Kalau tak pernah dengar istilah ‘waterplay’ pun fikirlah secara logik. Tidak mungkin tempat yang kecil dibina sebagai kolam mandi anak-anak. Bahaya,” kata Mizzy.
“Mana tak rosak, budak-budak berendam macam berendam dalam sinki basuh pinggan,” kata Adam.
Hantaran tersebut menerima 2,424 tanda suka dan 162 komen. – KOSMO! ONLINE.