PUTRAJAYA – Ahli Majlis Kerja Tertinggi (MT) UMNO Datuk Lokman Noor Adam telah mengemukakan representasi kepada Jabatan Peguam Negara (AGC) untuk mengkaji prosiding menghina mahkamah membabitkan kes 1Malaysia Development Berhad (1MDB) dan penjara sebulan yang telah disabitkan terhadapnya.
Perkara itu dimaklumkan oleh peguam Tan Sri Muhammad Shafee Abdullah pada prosiding pendengaran rayuan akhir Lokman, 50, di Mahkamah Persekutuan di sini hari ini.
Menurut Muhammad Shafee, surat representasi itu telah dihantar semalam dan sekiranya representasi berkenaan diterima oleh AGC, rayuan anak guamnya tidak perlu diteruskan.
“Oleh yang demikian, saya mohon agar prosiding hari ditangguhkan sementara menunggu keputusan representasi,” kata peguam itu.
Sementara itu, Timbalan Pendakwa Raya Datuk Mohd. Dusuki Mokhtar selaku responden berkata pihaknya mengesahkan menenerima representasi tersebut.
Selepas mendengar makluman daripada kedua-dua belah pihak panel tiga hakim yang diketuai Tan Sri Mohamad Zabidin Mohd. Diah yang turut bersidang bersama-sama Datuk Zabariah Mohd. Yusof dan Datuk Harmindar Singh Dhaliwai menetapkan 14 Februari tahun depan bagi sebutan semula kes.
Pada tarikh itu, panel-panel akan mendengar rayuan dan status representasi yang dikemukakan Lokman.
Pada 26 Oktober tahun lalu, Mahkamah Rayuan di sini mengekalkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman selepas menolak rayuannya bagi mengetepikan sabitan dan hukuman serta rayuan silang pendakwa raya terhadap hukuman yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur dua tahun lalu.
Panel tiga hakim diketuai oleh Datuk Seri Kamaludin Md. Said yang bersidang bersama Datuk Che Mohd. Ruzima Ghazali dan Datuk Nordin Hassan ketika itu berpuas hati hukuman yang dijatuhkan wajar dan munasabah.
Pada 15 Julai 2021, Hakim Datuk Collin Lawrence Sequerah menjatuhkan hukuman penjara sebulan terhadap Lokman Noor selepas didapati bersalah menghina mahkamah kerana mengugut bekas pegawai khas Najib, Datuk Amhari Efendi Nazaruddin, yang juga saksi utama dalam kes tersebut.
Pada 22 Oktober 2019, Hakim Collin memberi kebenaran kepada Peguam Negara ketika itu, Tan Sri Tommy Thomas untuk memulakan prosiding komital terhadap Lokman kerana tindakan responden yang didakwa menghina mahkamah sebanyak dua kali pada 25 September 2019.
Pada 14 Januari 2020, Hakim Collin menolak permohonan Lokman untuk mengetepikan kebenaran yang diperoleh Tommy dan responden juga gagal dalam rayuannya di Mahkamah Rayuan serta Mahkamah Persekutuan untuk membatalkan keputusan Mahkamah Tinggi.
Tommy memulakan prosiding komital terhadap Lokman dan memohon perintah supaya responden dipenjara atau didenda atas tindakannya menghina mahkamah.
Menurut Tommy pada 25 September 2019, Lokman dalam satu temu bual mengeluarkan perkataan berbaur ancaman atau ugutan terhadap Amhari kerana memberi keterangan pada perbicaraan bekas Perdana Menteri itu di Mahkamah Tinggi.
Tommy berkata, pada hari sama Lokman membuat laporan polis terhadap Amhari yang juga saksi pendakwaan kelapan berhubung keterangan saksi itu pada perbicaraan berkenaan.
Katanya, matlamat atau tujuan tindakan responden itu ialah untuk mengganggu dan menakut-nakutkan Amhari, saksi lain dan mana-mana saksi berpotensi untuk tampil memberi keterangan terhadap Najib dalam perbicaraan kes 1MDB. – KOSMO! ONLINE