fbpx

Harga emas RM9,848 satu auns, tertinggi sepanjang zaman

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
HARGA emas melonjak pada harga RM9,848 satu auns di pasaran dunia semalam. - Foto AFP

WASHINGTON – Harga emas tertinggi sepanjang zaman dicatatkan semalam selepas  melonjak melepasi paras AS$2,100 (RM9,801) satu auns atau 28.34 gram (g), lapor portal berita RT.

Ia meningkat kepada rekod tinggi AS$2,110 (RM9,848) setiap auns sebelum didagangkan pada AS$2,090 (RM9,775) setakat pukul 7.45 pagi (waktu Malaysia).

Kenaikan aset tertua di dunia itu telah berlangsung selama dua bulan berturut-turut.

Ia didorong oleh permintaan para pelabur berikutan ketidaktentuan global dan ketegangan geopolitik termasuk kebimbangan kemelesetan dan jangkaan pemotongan kadar faedah oleh Rizab Persekutuan Amerika Syarikat (AS).

Menurut pengukur jangkaan kadar faedah CME FedWatch Tool yang dihasilkan oleh syarikat kewangan CME Group, pasaran kini menetapkan harga lebih 50 peratus kemungkinan penurunan kadar faedah AS pada suku pertama 2024.

“Jangkaan penurunan dalam dolar AS dan kadar faedah sepanjang 2024 adalah pemacu positif utama untuk emas,” kata Ketua Strategi Pasaran, Ekonomi Global dan Penyelidikan Pasaran UOB, Heng Koon How kepada CNBC. 

Beliau menganggarkan harga emas boleh meningkat kepada AS$2,200 (RM10,268) satu auns menjelang akhir 2024.

Pelabur secara tradisinya beralih kepada emas pada masa ketidaktentuan pasaran untuk melindungi nilai risiko dan sebagai penyimpan nilai. 

Selama beribu-ribu tahun, jongkong emas dilihat sebagai tempat perlindungan yang selamat semasa tempoh ketidakstabilan ekonomi, krisis pasaran saham, konflik ketenteraan dan wabak.

Pakar-pakar dan peniaga mengunjurkan bahawa harga emas berada di landasan untuk mencapai paras tertinggi baharu pada tahun depan dan boleh kekal di atas paras AS$2,000 (RM9,335).

Satu tinjauan baru-baru ini oleh Majlis Emas Dunia menunjukkan bahawa lebih 20 peratus daripada semua bank pusat berhasrat untuk meningkatkan rizab emas mereka dalam tempoh 12 bulan akan datang kerana mereka semakin bersikap negatif terhadap dolar AS sebagai aset rizab. – AGENSI

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI