fbpx

Penunggang maut, superbike masuk longkang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KEADAAN motosikal mangsa kemalangan maut di Kilometer 63, Jalan Ipoh-Gerik dekat Liman Kati, Kuala Kangsar semalam.

KUALA KANGSAR – Tindakan seorang lelaki memandu secara cuai ketika hendak membelok masuk ke simpang dipercayai menjadi punca kemalangan mengorbankan penunggang motosikal di Kilometer 63, Jalan Ipoh-Gerik dekat Liman Kati, di sini semalam.

Nahas sekitar pukul 5.20 petang itu mengakibatkan penunggang motosikal jenis BMW GS, Mohd. Khairil Anuwar Mustakim, 40, dan pembonceng, Norlilawati Mohd. Shah, 40, parah.

Pasangan suami isteri itu dihantar ke Hospital Kuala Kangsar untuk rawatan namun Mohd. Khairil Anuwar disahkan meninggal dunia di wad kecemasan hospital berkenaan pada pukul 7.45 petang.

Ketua Polis Daerah Kuala Kangsar, Asisten Komisioner Omar Bakhtiar Yaacob berkata, kemalangan pada pukul 5.20 petang itu membabitkan motosikal berkuasa tinggi ditunggang mangsa dan sebuah kereta Proton Saga dipandu lelaki berusia 65 tahun.

Katanya, ketika kejadian, motosikal ditunggang mangsa dalam perjalanan dari arah Gerik menuju ke Kuala Kangsar.

“Semasa sedang mara, tiba-tiba datang sebuah kereta dari arah bertentangan telah membelok ke kanan laluannya untuk menuju ke Kampung Liman Kati dan masuk di hadapan laluan motosikal mangsa.

“Mangsa cuba mengelak ke kiri namun gagal sebelum terlanggar kereta pada bahagian hadapan kiri. Pelanggaran itu menyebabkan motosikal tersebut jatuh terseret ke tepi jalan sebelum masuk ke dalam longkang,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, penunggang dan pembonceng yang mengalami kecederaan parah segera dikejarkan ke hospital namun salah seorang daripada mereka disahkan meninggal dunia ketika rawatan.

Katanya, dalam kejadian itu pemandu dan penumpang hadapan kereta mengalami luka di beberapa bahagian badan.

“Siasatan awal mendapati kemalangan berlaku akibat kecuaian pemandu kereta ketika masuk simpang. Siasatan lanjut dijalankan mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI