KUALA LUMPUR – Media Mulia Sdn. Bhd. merangkul dua anugerah saguhati sempena Malam Penghargaan Media Kementerian Kerja Raya dan Anugerah Media Pembinaan CIDB 2023 di sini malam ini.
Jurufoto Utusan Malaysia, Amir Khalid memenangi Kategori Fotografi Terbaik menerusi karya ‘Mengejutkan!’ manakala Muhamad Iqbal Rosli pula menerusi foto bertajuk ‘Lebuhraya Bertingkat’.
Mereka membawa pulang masing-masing wang tunai RM1,000 dan sijil.
Pada tahun ini CIDB menerima sebanyak 176 penyertaan bagi semua kategori yang dipertandingkan sejak penyertaan dibuka pada Ogos lalu.
Sementara itu, Menteri Kerja Raya, Datuk Seri Alexander Nanta Linggi mengumumkan Kementerian Kerja Raya (KKR) dengan kerjasama syarikat konsesi lebuh raya juga telah merancang untuk membina dan menambah baik 119 buah “motorcycle shelter”.
“40 daripadanya akan disiapkan pada tahun ini manakala baki 79 buah lagi akan dilaksanakan pada tahun 2024,” katanya ketika berucap pada majlis berkenaan di ibu negara malam ini. – KOSMO! ONLINE