PETALING JAYA – Ketua Pegawai Eksekutif Cinta Gaza Malaysia, Muhammad Nadir Al-Nuri Kamaruzaman memaklumkan beliau sempat membuat panggilan video bersama keluarga yang berada di selatan Semenanjung Gaza sebelum kawasan kediaman mereka dibom rejim Zionis.
Beliau menerusi hantaran di Facebook hari ini meluahkan rasa syukur apabila dapat melihat wajah keluarga tersayang.
“Semalam sebelum keluarga saya diarahkan berpindah meninggalkan kawasan Khan Yunus dan ia dibedil teruk, saya sempat menghubungi mereka melalui video call (panggilan video).
“Memang seronok sebab jarang sekali internet mereka cukup kuat sampai boleh video call (panggilan video),” kongsinya.
Dalam pada itu, Nadir berkata, keluarganya kini berada dalam keadaan yang tidak tenang selain memohon orang ramai untuk terus mendoakan kesejahteraan dan kebebasan buat rakyat Palestin setelah hampir dua bulan negara tersebut diserang tanpa henti sehingga mengorbankan lebih 15,500 nyawa penduduk.
“Beberapa jam kemudian saya dimaklumkan yang mereka terpaksa berpindah ke kawasan lain pula, menumpang teduh dan kasih di mana Allah mengizinkan.
“Doakan mereka diberikan kesabaran, kekuatan dan ‘kekasaran’ untuk hidup dalam suasana tidak senang dan susah pada saat ini.
“Sempadan ditutup saat ini dan pergerakan keluar sangat sukar, selain situasi anak-anak tiri saya yang memerlukan kebenaran khas untuk meninggalkan Gaza. Buat masa ini, insya-Allah mereka akan bertahan di sana,” katanya. – KOSMO! ONLINE