fbpx

Dewan Negara: ‘Rakyat akan memberontak jika tak cukup makan’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Hussin ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024, di Dewan Negara hari ini.

KUALA LUMPUR – Kerajaan diminta untuk menyelesaikan isu keterjaminan makanan dalam negara dengan memperkasa penyelidikan menerusi agensi berkaitan.

Senator Hussin Ismail berkata, sudah tiba masanya negara melihat perkara ini dengan lebih serius berikutan ancaman pemanasan global yang semakin membimbangkan.

Menurutnya, sekiranya, senjata merupakan pertahanan negara dari luar, maka makanan adalah pertahanan negara dari dalam.

“Kita ada bajet untuk penyelidikan sebanyak RM300 juta namun Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (Mardi) hanya menerima sebanyak RM60 juta.

“Saya sebut banyak kali tentang keterjaminan makanan, tapi sehingga hari ini kita belum serius. Kalau RM60 juta peruntukan untuk kajian, saya fikir kita tidak mampu menyelesaikannya.

“Kita perlu ingat bahawa rakyat akan memberontak jika tak cukup makan dan sebijak mana pun pemimpin, negara akan hancur,” katanya ketika membahaskan Rang Undang-Undang Perbekalan 2024 di Dewan Negara, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Husin berkata, Malaysia perlu mengambil usaha negara-negara lain sebagai contoh dalam mengembangkan industri pertanian melalui penyelidikan.

“Sebelum ini, kita bangga bakal mengeluarkan padi lima kali dua tahun. Namun, Indochina sudah keluarkan klon padi selama 75 hari manakala Indonesia yang kononnya kebelakang berbanding Malaysia mengeluarkan padi dengan 70 hari.

“Selain itu, China pula sudah membuat kajian untuk menanam padi di atas laut dan terbaharu di gurun dengan hasil tiga kali ganda daripada pengeluaran padi biasa. Ini semua adalah hasil kajian mereka,” ujarnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI