fbpx

Malaysia-Vietnam perbaharui perjanjian kerjasama pertahanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Mohamad (kanan) bersama rakan sejawatnya dari Vietnam, Jeneral Phan Van Giang.

PETALING JAYA – Lawatan Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan ke Hanoi, Vietnam menyaksikan pembaharuan Memorandum Persefahaman (MoU) mengenai kerjasama dalam bidang pertahanan antara Malaysia-Vietnam diperbaharui.

Kementerian Pertahanan (Mindef) melalui satu kenyataan berkata, MoU yang dimeterai antara dua negara Asean itu sebelum ini telah tamat pada 2018.

“Pembaharuan tersebut merupakan satu peristiwa penting dalam mengeratkan semula hubungan pertahanan antara kedua-dua negara.

“Kedua-dua menteri menyatakan komitmen mereka untuk melaksanakan perundangan yang termaktub dan memastikan kejayaannya dalam memperkukuh hubungan pertahanan dua hala,” jelas kenyataan itu.

MoU terbabit dimeterai semasa pertemuan Mohamad ketika mengadakan rangka lawatan selama dua hari bermula hari ini dengan rakan sejawatannya, Jeneral Phan Van Giang.

Terdahulu, Mohamad dan Phan telah mengadakan Mesyuarat Dua Hala mengenai kerjasama pertahanan Malaysia -Vietnam.

“Mesyuarat ini memberi tumpuan kepada peningkatan kerjasama ketenteraan, memupuk kerjasama dalam industri pertahanan dan mengadakan Dialog Strategik Pertahanan antara kedua-dua kementerian.

“Kedua-dua menteri terlibat dalam perbincangan serta menekankan kepentingan kestabilan serantau dan menyatakan komitmen kedua-dua negara untuk meningkatkan keupayaan pertahanan.

“Mesyuarat Dua Hala ini turut membincangkan mengenai pelbagai aspek kerjasama ketenteraan, termasuk latihan bersama, perkongsian perisikan, dan kerjasama dalam teknologi pertahanan,” kata kenyataan itu lagi.

Tambah kenyataan itu, Mohamad turut menekankan kepentingan penglibatan diplomatik dalam menangani cabaran kontemporari dan menegaskan semula usaha Malaysia untuk mengekalkan keamanan dan keselamatan serantau.

Mohamad berada di Vietnam bagi melakukan lawatan kerja mulai hari ini sehingga 5 Disember. Dalam rangka lawatan tersebut, beliau telah mengadakan pertemuan dengan Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinch. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI