SINGAPURA – Sebuah syarikat di Singapura, Hivebotics mencipta robot pembersih tandas yang dijangka beroperasi pada 2024, lapor portal berita Asiaone hari ini.
Robot dipanggil Abluo itu akan bergerak di sekeliling tandas untuk mencari kotoran dan kawasan untuk dibersihkan. Ia mempunyai sistem sensor yang memberikan pandangan tiga dimensi (3D) kawasan sekitarnya.
Apabila mengesan kotoran, lengan robot itu akan berputar mengambil peralatan di atas rak seperti berus dan penyembur wap untuk menghilangkan kotoran tersebut dan bakteria.
Pengasas bersama Hivebotics, Tuan Dung Nguyen berkata, robot itu bertujuan mengurangkan separuh masa diperlukan tukang cuci untuk membersihkan tandas supaya mereka memberi tumpuan kepada tugas lain.
Abluo mula dibangunkan pada 2021 serta mendapat sokongan Universiti Nasional Singapura (NUS) dan JTC Corporation. Ia sedang diuji di tandas taman perindustrian, hospital, pusat beli-belah dan lapangan terbang.
Fasa ujian awam robot itu akan dijalankan pada suku kedua 2024, sekali gus menandakan peringkat akhir pembangunannya sebelum dilancarkan pada Julai tahun depan, kata Nguyen. – AGENSI